Jeep Grand Cherokee Trackhawk catat rekod SUV produksi terpantas di permukaan ais – capai 280 km/j!

Jeep Grand Cherokee Trackhawk catat rekod SUV produksi terpantas di permukaan ais – capai 280 km/j!

Kuasa yang besar kadang kala tidak menentukan kelajuan sekiranya sistem transmisi, suspensi dan tayar tidak mampu menghantar kesemua tenaga berkenaan ke permukaan jalan bukan? Jadi bagi membuktikan ia sebuah SUV yang mempunyai kebolehan menghantarkuasa secara efisien, Jeep telah membuat satu catatan rekod kelajuan terpantas untuk Grand Cherokee Trackhawk, bukan di atas permukaan tar atau garam, sebaliknya pada permukaan ais!

Percubaan ini dilakukan ketika berlangsungnya acara tahunan Baikal Ice Motor Sports Festival Speed Days 2019 di Rusia. Data untuk rekod ini telah diambil dan disahkan oleh Russian Automobile Federation (RAF). Pada hari catatan rekod berkenaan dilakukan, permukaan ais pada laluan tersebut menjadi bertambah sukar kerana mempunyai lapisan air yang nipis, menyebabkan ia bertambah licin.

Jeep Grand Cherokee Trackhawk ini memulakan rekod secara rolling start. Dalam laluan lurus sepanjang 12 km tersebut, GPS mencatatkan kelajuan maksima setinggi 280 km/j, dengan kelajuan purata 257 km/j berjaya dikekalkan dalam jarak satu kilometer. Kelajuaan purata dari kedudukan pegun pula mencatatkan lebih dari 100 km/j.

Unit yang digunakan untuk mencatatkan rekod ini adalah dari versi produksi sebenar, dan menurut Jeep mereka hanya menyisihkan berberapa perkara yang tidak diperlukan. Jadi ia masih dijana enjin standard V8 6.2 liter dengan supercharger yang mampu menjana 707 hp dan tork maksima 875 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan TorqueFlite.

Bagi ‘menggigit’ permukaan jalan walaupun pada permukaan licin seperti ais ini, kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Quadra-Trac, yang terdiri dari kotak peralihan aktif kelajuan tunggal, LSD, serta sistem Select Track yang membolehkan pemandu memilih lima mod pemanduan iaitu Auto, Sport, Track, Snow dan Tow.

Pada sesi catatan rekod ini juga, Jeep Grand Cherokee Trackhawk turut mempamerkan kebolehan membrek yang baik. SUV seberat 2.4 tan ini berjaya dihentikan sepenuhnya dari kelajuan 96 km/j dalam jarak hanya 34.7 meter. Rahsianya? Juga sebagai ciri standard, ia dilengkapi dengan cakera brek two piece berdiameter 400 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, dan cakera 350 mm bersama angkup empat omboh di belakang – kesemuanya dari Brembo.

Jeep Cherokee Trackhawk juga sebenar adalah SUV produksi massa paling pantas di dunia buat masa sekarang. Pada permukaan tar, SUV ini mampu memecut dari 0-60 bsj (96 km/j) dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 290 km/j. Pada litar drag sepanjang suku batu (400 meter), ia hanya memerlukan masa 11.6 saat untuk bergerak dari keadaan pegun di garis permulaan hingga ke garis penamat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required