Walau pun menerima bantahan daripada pelbagai pihak mengenai pindaan peraturan baharu untuk cermin gelap bagi kenderaan persendirian, namun Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan ia kekal dan tetap dikuatkuasakan sejak 8 Mei lalu. Antara pihak yang menyuarakan rasa kurang berpuas hati dengan pelaksanaan peraturan baharu ini ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berpendapat ia bakal menyukarkan lagi tugas pihaknya untuk menjalankan penguatkuasaan.

Menerusi laporan Bernama, Loke berkata, pihaknya tetap menghormati pandangan PDRM dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk polis sendiri.

“Dari segi penguatkuasaan dan mekanisme untuk menguatkuasakan peraturan baharu ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, akan berbincang dengan pihak polis khususnya polis trafik untuk menguatkuasakan peraturan baharu ini,” katanya dalam sidang media pagi ini.

Loke berkata keputusan meminda Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk polis ketika bengkel khas mengenai perkara itu pada Jun 2014.

“Majoriti peserta bengkel yang disertai pelbagai agensi termasuk polis setuju untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin depan dan sisi pemandu pada 70% dan 50%, dan ia masih dihormati.

“Malah beberapa tahun lepas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan (D4) Bukit Aman, Datuk Abd Manaf Abd Razak, menyatakan tidak ada sebarang fakta yang menunjukkan peningkatan kes jenayah disebabkan penggunaan cermin gelap. Saya juga yakin pihak polis mempunyai pelbagai cara untuk mengesan penjenayah seperti di China yang mengesan jenayah menerusi teknologi pengecaman wajah,” ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, pindaan yang dibuat adalah selari dengan peraturan antarabangsa dan di bawah peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

Loke turut mengulas mengenai kritikan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung peraturan baharu itu untuk menjana pendapatan kepada kerajaan. Beliau menjawab, “Mereka yang menggunakan cermin gelap ini adalah golongan berpangkat dan mereka mampu untuk membayar fi RM5,000.

“Kira-kira 17,000 kenderaan yang mendapat kebenaran cermin gelap daripada Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ terdahulu dan apabila permit menggunakan cermin gelap mereka tamat nanti dan dikenakan fi RM5,000, maka ia membawa pendapatan kira-kira RM85 juta kepada kerajaan.”

Menurutnya lagi, ada kategori yang dibenarkan menggunakan cermin gelap untuk keseluruhan kenderaan iaitu seperti pesakit kulit/mata, Perdana Menteri dan keluarga Diraja.