Lagenda dan juara Formula 1 tiga kali dari Austria, Niki Lauda dilaporkan meninggal dunia pada usia 70-tahun. Menurut laporan portal berita mirror.co.uk, Lauda menghembuskan nafas terakhirnya selepas menerima rawatan dialisis buah pinggang di sebuah klinik persendirian terletak di Switzerland.

Awal tahun ini, Lauda telah dirawat di sebuah Hospital terletak di Vienna kerana jangkitan flu, lima bulan setelah menjalani pembedahan pemindahan paru-paru. Beliau diterbangkan ke ibu kota Austria itu dari Pulau Ibiza yang terletak di Sepanyol, ketika sedang bercuti.

Nama Niki Lauda terkenal kerana saingan sengitnya terhadap seorang lagi lagenda F1 iaitu mendiang James Hunt dari Britain ketika era 70’an. Beliau telah terlibat dalam salah satu kemalangan paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah Formula 1, yang menyebabkan Ferrari dipandunya di Litar Nürburgring ketika itu terbakar pada tahun 1976.

Lauda turut cedera parah dalam kemalangan berkenaan dengan kebakaran yang teruk berlaku di sekitar muka. Apa yang mengkagumkan, Lauda bangkit semula hanya dalam masa enam minggu bagi mempertahankan gelarannya dari di rampas oleh James Hunt. Walau bagaimanapun, Lauda menarik diri dari perlumbaan pada pusingan akhir di Suzuka Jepun, membolehkan James Hunt dinobatkan juara dunia untuk musim 1976 dengan kelebihan hanya satu mata.

Perseteruan hebat antara Niki Lauda dan James Hunt ini telah pun dibawa ke layar perak menerusi filem Rush yang di arah oleh Ron Howard dan telah ditayangkan pada tahun 2013.