Selepas menayangkan Ami One Concept Februari lalu, Citroen sekali lagi mahu menunjukkan kemampuan mereka dengan mendedahkan sebuah lagi kereta konsep yang dinamakan sebagai 19_19 Concept. Seperti yang anda boleh lihat, kereta konsep ini mempunyai saiz yang lebih besar, dipanggil oleh Citroen sebagai UFO sebenar dalam sektor automotif.

Sudah tentu, sebagai sebuah kereta konsep, ia lebih sebagai pameran teknologi dan rekaan yang mungkin boleh digunakan pada masa hadapan, dan hampir semua bahagiannya mempunyai keistimewaan tersendiri. Untuk bahagian luar, ia banyak mendapat inspirasi daripada sektor penerbangan.

Sebab itulah bahagian badan utama kenderaan mempunyai bentuk bujur seperti kabin kapal terbang, sementara bahagian roda yang dibangunkan bersama dengan Goodyear menampilkan rekaan bersepadu rim 30 inci dan tayar 255/30. Walaupun menggunakan tayar yang nipis, rekaan khas dengan lengkuk roda yang terasing daripada badan serta suspensi istimewa, keselesaan dalam kenderaan ini dapat dijamin.

Bahagian dalam pula dijadikan seperti ruang santai. Ada empat tempat duduk yang disediakan, dan pintu dibuka secara suicide untuk memudahkan keluar masuk kenderaan. Istimewanya berkenaan pintu belakang yang berwarna biru itu, penumpang di dalam boleh melihat suasana di luar, tetapi orang di luar tidak boleh melihat penumpang di dalam.

Bahagian kawalan untuk pemandu adalah minimal kerana ini adalah sebuah kereta yang mempunyai kemampuan bergerak sendiri dan stereng serta pedal itu juga boleh menyorok sendiri untuk memberi lebih ruang bergantung kepada mod pemanduan. Di atas papan pemuka, terdapat satu botol silinder yang sebenarnya adalah pembantu persendirian pintar (PA) yang boleh berhubung dengan orang di dalam kenderaan dan melakukan pelarasan.

Disebabkan badannya yang besar dan panjang, Citroen 19_19 Concept dapat dilengkapkan dengan pakej bateri yang besar, iaitu 100 kWh, berserta dua motor elektrik yang terletak satu untuk setiap gandar, menghasilkan sistem pacuan empat roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 340 kW dan 800 Nm tork, manakala untuk jarak, ia boleh pergi sehingga 800 km di bawah protokol WLTP.