Australasian New Car Assessment Programme (ANCAP) telah menguji lima lagi model bagi tahun 2019, dan semuanya lulus cemerlang dengan penarafan lima-bintang. Model-model yang dimaksudkan ialah Mazda 3, Toyota RAV4, Volkswagen Touareg, Lexus UX dan Ranger Rover Evoque – penarafan maksimum diberikan bagi semua varian model-model berkenaan.

Mazda 3 mencatat pencapaian 98% bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP); ini yang paling tinggi daripada kelima-lima model berkenaan. Bagi tahap perlindungan fizikal, kereta ini mencatatkan 37.54 mata daripada 38 mata keseluruhan – begitu juga ia cemerlang dalam ujian hentaman hadapan, sisi dan juga ujian oblique pole.

Dari aspek perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula, Mazda 3 catat 43.81 mata daripada 49 mata, sementara bagi perlindungan pengguna jalanraya menyaksikan angka 39.22 mata daripada 48 mata. Sistem brek kecemasan autonmous pada kereta ini juga mendapat markah yang tinggi.

Toyota RAV4 pula, yang mula dijual di Australia dan New Zealand bulan ini, mencatatkan markah 35.7 mata daripada 38 mata bagi AOP, menyumbang kepada pencapaiannya berjumlah 93% dalam kategori itu. Bagi COP pula, model ini mendapatkan 43.85 mata daripada 49 mata, sementara bagi perlindungan pengguna jalan ialah 40.95 mata daripada 48 mata.

Seterusnya, Volkswagen Touareg pula mendapatkan himpunan mata 34 daripada 38 mata, memberikan perlindungan baik kepada penumpang dalam ujian hentaman sisi tetapi kurang memuaskan dari sudut perlindungan bahagian dada pemandu dalam kedua-dua ujian hentaman hadapan serta oblique pole.

COP yang dicatatkan pula ialah 43.37 mata daripada 49 mata keseluruhannya. Bagaimanapun, bagi perlindungan pengguna jalan, ia tidak begitu memberangsangkan dengan hanya mengumpul 34.61 mata daripada 48 mata.

Bagi Lexus UX, ujian AOP yang dicapai ialah 36.69 mata daripada 38, dengan markah penuh bagi ujian hentaman sisi dan ujian oblique pole. Bagi COP, ia memperoleh 43.13 mata, sementara bagi perlindungan pengguna jalan ialah 39.44 mata.

Range Rover Evoque yang telah memperoleh Euro NCAP lima-bintang sebelum ini pula masih memberikan bacaan yang cemerlang. Bagi AOP, ia menerima 35.95 daripada 38 mata; membolehkan peratusan keseluruhan yang diperoleh ialah 94% – ini pencapaian terbaik bagi mana-mana kenderaan Jaguar Land Rover setakat ini.

Bagi COP pula, ia mengumpul 43.74 mata daripada 49 mata; perlindungan pengguna jalan 34.79 mata; alat bantuan keselamatan 9.49 daripada 13. Semua ini membolehkannya untuk mendapatkan keseluruhan 72% dan 73% bagi kategori-kategori berkenaan.

Mazda 3

Range Rover Evoque

Toyota RAV4

Lexus UX

Volkswagen Touareg