Sejak diperkenalkan pada Januari lalu, pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 telah berjaya menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana). Ini terbukti dengan jumlah peningkatan pengguna sehingga 14% sekaligus membuktikan pas bulanan terbabit berjaya menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang termasuk Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata lebih 120,000 pengguna sudah mendaftar sebagai pengguna pas bulanan My100 dan My50, dengan Prasarana kini mengendalikan lebih 1.2 juta pengguna setiap hari bagi semua pengangkutan awam dikendalikan syarikat itu.

“Jumlah pengguna untuk perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana meningkat sebanyak 14 peratus setelah kita perkenalkan My100 dan My50 pada Januari lalu. Perkhidmatan paling ketara yang mengalami peningkatan pengguna adalah untuk MRT yang menyaksikan lonjakan jumlah pengguna sehingga 31%. Berdasarkan maklumat itu, kita rasakan pas bulanan ini popular dalam kalangan pengguna MRT,” katanya kepada pemberita semalam.

Langganan bagi pas ini boleh dibuat menggunakan MyKad, MyKid dan MyTentera di kiosk dan fungsi Touch and Go bagi memastikan perkhidmatan itu hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Menerusi pas My100, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk Transit Aliran Massa ( MRT), LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.

Bagi pas My50 pula, penumpang boleh menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT (tidak termasuk BRT) tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.