Renault telah mendedahkan SUV Koleos yang dinaiktaraf, menampilkan imej yang menerima sentuhan terkini, enjin baharu serta beberapa ciri teknologi yang turut dipertingkatkan. Untuk kali ini, Renault turut memperkenalkan dua enjin diesel baharu yang menawarkan prestasi lebih baik dan emisi yang lebih rendah berbanding unit yang diganti.

Ini termasuklah enjin 1.8 liter Blue dCi 150, dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 340 Nm, dan yang terbesar enjin 2.0 liter Blue dCi 190 dengan 190 PS/380 Nm. Puncak tork bagi kedua-duanya pada takat 1,750 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda menerusi X-Tronic Continuously Variable Transmission. Model dengan unit 1.8 liter merupakan pacuan roda-hadapan, sementara enjin yang lebih besar didatangkan dengan All Mode 4×4 i ciptaan Renault sendiri.

Untuk penggayaan, lampu utama Pure Vision LED kini standard untuk semua model. Malah ia juga ditampilkan dengan gril yang lebih bergaya dengan kemasan krom baharu, serta skid plate yang lebih besar dan apron bawah yang disemak semula.

Di belakang juga menerima skid plate yang lebih besar, dipenuhi kemasan krom dan lampu brek ketiga yang lebih panjang. Lampu belakang Edge Light tiga-dimensi dikekalkan. Lain-lain ciri tambahan baharu termasuk roda aloi dua-tona baharu dan cat metalik Vintage Red.

Di dalamnya, kebanyakannya tiada perubahan, melainkan material sentuhan lembut dan sutera didatangkan bagi memberikan citarasa lebih premium. Di belakang pula menampilkan tempat duduk boleh dibaringkan dengan dua-fasa secara standard. Di tengah papan pemuka pula diletakkan skrin infotainmen skrin sesentuh R-Link 2 8.7-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Malah unit tujuh-inci turut menyokong fungsi Apple CarPlay.

Untuk aspek keselamatan, Koleos kini menerima fungsi pengesan pejalan kaki untuk Sistem Brek Kecemasan Aktif (AEBS). Lain-lain ciri keselamatan masih dikekalkan, dan termasuklah kawalan kelajuan adaptif. Renault kini menjual lebih 100,000 unit Koleos secara global pada 2018.