Hari ini 12 Jun 2019, bukannya 1 April yang biasanya kita akan dihidangkan dengan berita pelik-pelik sebegini – ini betul punya berita, Skoda telah menghasilkan sebuah model khas dari SUV Karoq, digelar Karoq Velo yang mempunyai mesin basuh baju di dalamnya!

Walau bagaimanapun, Karoq Velo ini sebenarnya bukanlah model produksi, tetapi model konsep dari Skoda UK dengan rekaan dan ciri-ciri dihasilkan khas untuk mereka yang gemar berbasikal. Sebelum projek ini dijalankan, pasukan rekaan Skoda telahpun menjalankan kaji selidik terhadap 1,500 penunggang basikal tentang kenderaan sokongan yang ideal untuk aktiviti tersebut.

Dengan itu, terhasillah SUV dengan pelbagai ciri unik seperti ruang untuk menyimpan set peralatan lengkap bagi menukar tayar basikal bersama lampu LED bagi memudahkan kerja-kerja tersebut dibuat pada kawasan gelap, tempat penyimpanan basikal di dalam kabin selain dua lagi boleh diletakkan di bumbung, dan juga mesin basuh baju yang dinyatakan tadi.

Mesin basuh berkenaan menerima bekalan air dari sistem paip dan simpanan khas pada SUV tersebut, yang turut boleh digunakan untuk membasuh basikal. Walaupun Ia menerima pelbagai kelengkapan, ruang kabin Karoq Velo ini turut boleh dimuatkan dengan tiga orang dewasa termasuk pemandu.

Pada bahagian luaran, Karoq Velo ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan dengan Karoq standard. SUV ini diberikan warna badan kelabu bersama grafik berbentuk rantai basikal bagi memberitahu bahawa ia adalah model yang tidak sama dengan versi biasa.

Apa yang menarik lagi, SUV istimewa ini turut dilengkapi dengan sebuah dron bagi melakukan berberapa tugasan. Dron ini mempunyai pad mendarat magnetik serta juga fungsi Follow Me yang menggunakan penderia dan teknologi pengesan bagi membolehkan ia mengikut penunggang basikal secara automatik bagi mengambil gambar.

Dron berkenaan juga mempunyai Wi-Fi Hotspot bagi membolehkan gambar-gambar yang diambil terus dimuat naik setelah mereka pulang ke kereta. Karoq Velo ini turut dilengkapi dengan sistem panggilan kecemasan, yang akan terus menghantar lokasi kereta ke pihak Skoda sendiri, seterusnya menghubungi pihak yang terdekat bagi memberikan bantuan – dengan semudah menekan satu butang.

Menurut Skoda, walaupun Karoq Velo ini tidak dijual, mereka ada menghasilkan berberapa aksesori diinspirasikan dari SUV ini dan ia boleh dibeli di pengedar bertauliah. Antara barangan tersebut adalah Skoda Multi-tool, pam tayar basikal bersama pendakap Skoda dan juga lampu basikal Skoda.