Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

Model sedan mewah Mercedes-Benz S560e, yang merupakan versi plug-in hybrid sekaligus tambahan varian terbaru dan kedua kepada model flagship S-Class W222 di Malaysia selepas S 450 L AMG Line, kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada harga anggaran RM658,888 (atas jalan tanpa insurans).

Model yang pertama kali membuat penampilan global di Frankfurt pada 2017 ini menggunakan gabungan sistem antara enjin 3.0 liter turbocaj V6 petrol yang menghasilkan sebanyak 326 hp dan 500 Nm serta motor elektrik yang diletakkan bersekali dengan torque converter dan klac di dalam satu sistem transmisi hibrid kompak; ia menggunakan transmisi 9G-Tronic Plus sembilan-kelajuan automatik. Janaan kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik berkenaan ialah 121 hp dan 440 Nm. Output keseluruhan yang dihasilkan ialah 469 hp dan 700 Nm.

Dari sudut prestasi, S650e mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya lima saat, sementara kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah pada kadar 2.1 l/100 km, manakala pembebasan emisi ialah sebanyak 49 g/km.

Mercedes-Benz S560e kini tiba di M’sia – 3.0L V6 plug-in hybrid, 469 hp/700 Nm, harga anggaran RM659k

Kereta ini boleh memberikan prestasi penggunaan elektrik sepenuhnya sehingga jarak 50 km, hasil daripada peningkatan kapasiti pada bateri lithium-ion 13.5 kWh. Bateri ini turut menampilkan penggunaan sel lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC) menggantikan unit lithium-iron-phosphate (LiFePo) 22 Ah sebelum ini. Unit yang dibangunkan oleh anak syarikat Daimler, Deutsche Accumotive juga lebih kecil daripada yang terdahulu, menjadikan ruang barangan yang tersedia lebih luas – dari 395 kepada 410 liter.

Mercedes-Benz S560e turut menampilkan pengecas sejukan cecair dengan kapasiti 7.4 kW, dan baterinya boleh dicas dari 10% hingga 100% SoC (status of charge) dalam masa sekitar 1.5 jam dengan Mercedes Wallbox pada kuasa penuhnya. Melalui soket domestik biasa, tempoh mengecasnya ialah lima jam.

Sebagai kenderaan cekap tenaga, S560e ini dilengkapi dengan mod ECO Assist yang berfungsi untuk membantu pemandu menikmati pengalaman yang pemanduan yang menjimatkan. Sistem pencahayaan pada sedan mewah ini menggunakan jenis Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus. Turut tersedia ialah bumbung panoramik boleh laras, Magic Vision Control dan menutup pintu dengan kuasa elektrik.

Bahagian dalamnya menggunakan material kulit Nappa dengan kemasan kayu walnut untuk menyerlahkan sisi eksklusifnya. Selain itu, kawalan pendingin hawa Thermotronic juga tersedia bagi penumpang depan dan belakang, pakej Air Balance, cermin pandang belakang anti-silau, stereng multi-fungsi dengan kemasan kayu dan balutan kulit serta lampu ambient untuk kabin.

Ciri multimedianya terdiri daripada Comand Online dengan kawalan jarak jauh bagi penumpang belakang, Touchpad dengan Controller, dua sistem hiburan untuk penumpang belakang dengan set headphone tanpa wayar, dua pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk bahagian depan dan belakang, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem bunyi keliling Burmester.

Dari sudut keselamatan, S560e ini dilengkapi dengan pakej Driving Assistance yang antara lain merangkumi Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist dan Active Parking Assist dengan Parktronic. Ia juga hadir dengan sistem pemantau tayar, dan menggunakan tayar jenis run-flat (dengan saiz rim aloi 19-inci).

Dengan harga RM658,888 (anggaran, atas jalan tanpa insurans), insentif cukai yang diterima oleh model ini menjadikannya RM41,000 lebih murah berbanding S 450 L AMG Line yang terdahulu. Ia bagaimanapun RM60,000 lebih mahal berbanding S 400 h pra-facelift dahulu, yang dijual pada harga RM598,888 bagi versi AMG Line terakhirnya pada 2017. Untuk perincian lanjut berkaitan Mercedes-Benz S-Class, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required