PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Proton Exora, sudah 10 tahun berada dalam pasaran. Setelah tersebarnya berita bahawa Proton akan membina sebuah MPV berdasarkan Geely Jiaji, ramai yang beranggapan bahawa Exora bakal ditamatkan pengeluaran tidak lama lagi. Namun, nampaknya usia produksi Exora ini nampaknya masih panjang apabila Proton memperkenalkan Exora RC 2019 pada Mei lalu, menampilkan berberapa tingkat taraf.

Ramai yang mempersoalkan, macam mana Exora nak bersaing dengan rekaan yang sudah masuk usia sedekad? Jadi kami uji sekali lagi bagi mengetahui adakah Exora masih relevan dalam pasaran.

Proton Exora RC ini masih ditawarkan dalam dua varian. Model yang kami pandu uji ini adalah dari versi tertinggi Exora Premium, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM66,800, atau sekitar RM2,500 lebih murah dari sebelum ini. Jika anda mahukan pilihan yang lebih mampu milik, model Exora Executive boleh dibeli pada harga RM59,800 atau sekitar RM2,000 lebih murah dari sebelumnya.

Sebelum pergi lebih jauh, adalah lebih baik kita buat senarai pendek apa model yang perlu Exora berdepan secara terus dalam pasaran. Cara mudah, pergi ke laman Carbase.my, dan kemudian klik kotak Any Price (Max) pada RM90k, dan Any Body Type pada MPV – tiga model teratas yang akan keluar adalah Proton Exora, Perodua Alza dan juga Toyota Avanza.

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Buat masa sekarang, Perodua Alza dijual pada harga bermula RM51k hingga RM63k. Walaupun diperkenalkan sebagai model facelift pada tahun lalu, Alza sebenarnya telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun yang sama Exora membuat kemunculan iaitu 2009. Sejak dilancarkan, Alza masih dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin 3SZ-VE DVVT 1.5 liter berkuasa 102 hp/136 Nm bersama kotak gear automatik empat-kelajuan – gandingan yang sama pada Perodua Myvi generasi kedua.

Alza ini juga sebenarnya versi jarak roda lebih panjang Perodua Myvi generasi pertama/Daihatsu Boon/Toyota Passo, dan diperkenalkan buat pertama kali di Jepun pada tahun 2008, dikenali sebagai Daihatsu Boon Luminas dan Toyota Passo Sette. Jadi jika diambilkira berkenaan usia rekaan platform, Alza sebenarnya lebih kurang sama dengan Exora.

Beralih pada Avanza, MPV tujuh-tempat duduk dari Toyota ini dijual pada harga bermula RM81k hingga RM88k. Walaupun ia model paling mahal antara ketiga-tiga MPV ini, Avanza sebenarnya adalah model dengan usia produksi paling lama, kerana telah membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2003.

Avanza ini juga sebuah MPV yang agak unik, kerana ia bukan sebuah model yang dihasilkan di Jepun, tetapi lahir berdasarkan susur galur Toyota Kijang, iaitu model yang dibina oleh Toyota Indonesia dan pasaran utamanya adalah di rantau Asia Tenggara. Jadi Avanza hadir dengan jarak kelegaan tanah yang agak tinggi, dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang bagi membolehkan ia bertugas di permukaan-permukaan lasak terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman Indonesia.

Buat permulaan, Avanza ditawarkan dengan enjin 1.3L, kemudian pada 2006 ia hadir dengan pilihan enjin 1.5L. Pada tahun 2015, Avanza menerima enjin baharu yang lebih moden iaitu 1.3L 1NR-VE dan 1.5L Dual DVVT 2NR-VE sama seperti Perodua Myvi generasi terkini. Avanza juga telah menerima pelbagai facelift sepanjang 16-tahun dalam produksi, dan terkini diberikan muka seakan Toyota Vellfire, serta hanya ditawarkan dengan enjin 1.5L bersama kotak gear automatik empat-kelajuan.

Kembali kepada Exora, model yang dikenali sebagai RC (Running Change) ini tidak menampilkan apa-apa perubahan pada bahagian luar, kecuali ia kini menerima antena jenis sirip yu pada bumbung. Berbanding Persona dan Iriz facelift yang kini menerima gril ukiran tradisional melayu “infinite weave‘ sebagai imej signatur terbaharu Proton, entah mengapa Exora tidak diberikan sentuhan sebegini.

Tetapi setelah pintu sebelah pemandu di buka, barulah anda akan nampak dan rasa perubahan pada MPV versi kemaskini ini. Pertama, adalah tempat duduk. Rekaannya asasnya adalah sama, tetapi balutan kulit tempat duduk baharu ini adalah lebih lembut – sama seperti pada Persona dan Iriz.

Balutan tersebut tidak menampilkan kulit sepenuhnya, sebaliknya digabungkan dengan fabrik pada bahagian tengah, dan sekali lagi fabrik yang digunakan nampak premium dari sebelum ini. Balutan fabrik yang sama turut diberikan untuk kemasan pada panel pintu sebelah dalam.

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Setelah duduk di tempat duduk pemandu, anda akan nampak satu lagi perubahan yang segar – instrumen meter juga kini telah ditukar dengan unit yang diberikan grafik baharu bersama pencahayaan yang lebih jelas serta panel TFT untuk memberikan pelbagai maklumat yang juga nampak lebih kemas. Pada saya, Proton berjaya menaikkan rasa premium pada Exora dengan instrumen baharu ini.

Toleh sedikit ke kiri, anda akan nampak pula rekaan baharu diterapkan pada konsol tengah papan pemuka. Tiada lagi jam digital diletakkan pada bahagian atas, kemudian satu kemasan keliling berwarna perak bermula dari liang penghawa dingin hingga ke skrin utama tujuh-inci, dan akhir sekali panel kemasan utama bahagian ini diberikan warna piano black.

Seperti Persona dan Iriz, Exora juga kini hadir dengan sistem infotainmen “Hi, Proton” (tiada pada model Executive) binaan ECARX yang bukan sahaja boleh berfungsi menggunakan kawalan suara, tetapi juga turut lengkap dengan internet 4G yang membolehkan anda menggunakan sistem navigasi dan stream berpuluh ribu lagu yang disimpan di dalam cloud.

Walau bagaimanapun, panel kawalan penghawa dingin zon tunggal yang terletak di bawah skrin masih lagi sama. Secara jujur, panel ini bukan sahaja nampak bosan, feel pada setiap suis putar ketika digunakan juga masih mengingatkan kita kepada ‘imej’ Proton terdahulu.

Ya, kabin Exora RC ini rasa jauh lebih segar dari model sebelum, tetapi kerana ia tidak disertakan dengan sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin (kereta sekecil Perodua Axia pun dah ada sistem ini sekarang), ia terasa seakan tidak lengkap sebagai sebuah kereta yang baharu sahaja kita ambil dari bilik pameran dan akan membayar ansuran pertama pada hujung bulan nanti.

Sejurus selepas tuil gear ditolak ke posisi ‘D’ dan injap pendikit ditekan, satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh Proton terhadap Exora ini terus dapat dirasakan. Respon kotak gear CVT adalah jauh lebih baik dari versi-versi peringkat awal dahulu – kotak gear tersebut dirasakan dapat ‘menangkap’ terus kuasa dari enjin dan menterjemahkannya ke kedua-dua roda hadapan dengan tepat.

Kemudian, enjin Exora ini tidak lagi meraung tidak tentu hala ketika pedal pendikit ditekan secara agresif bagi mendapatkan pecutan kerana talaan kotak gear CVT itu sendiri telah dilakukan dengan lebih tepat.

Proton Exora RC ini masih dijana oleh enjin S4PH 1.6 liter dari versi suapan pengecas turbo, sama seperti Exora Bold. Kalau diikut standard terkini, enjin produksi 1.4L hingga 1.5L yang disuap pengecas turbo sudahpun boleh mengerah kuasa sekitar 145 hp hingga 170 hp, dengan tork maksima sekitar 220 Nm hingga 250 Nm.

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Tetapi enjin turbo Proton ini hanya menghasilkan 138 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 205 Nm bermula 2,000 rpm. Ini kerana enjin tersebut diperkenalkan buat pertama kali oleh Proton pada tahun 2012, dan teknologi padanya sudah tentu agak tertinggal dibandingkan dengan enjin-enjin turbo lebih moden.

Satu lagi anda kena ingat, enjin-enjin turbo generasi baharu tersebut hanya boleh anda miliki sekiranya membeli model-model dengan harga lebih dari RM120k, sedangkan Exora dijual pada harga tidak sampai RM70k.

Namun sekiranya enjin ini dibandingkan dengan dua saingan sebenarnya tadi, sudah tentu ia adalah pilihan paling berkuasa (Alza 102 hp/135 Nm dan Avanza pula 103 hp/136 Nm). Angka kuasa ini bukan hanya sedap untuk mata memandang ketika membaca brosur, ia juga sedikit sebanyak akan mengukir senyuman anda ketika memandu. Dari 110 km/j, tekan pendikit sedikit agresif, jarum speedo meter akan mencecah 170 km/j dalam masa yang singkat tanpa anda sedar.

Dengan tork yang agak besar juga membolehkan enjin tersebut ‘mengayuh’ kotak gear CVT tersebut bagi mendapatkan kelajuan tinggi pada rpm enjin lebih rendah. Jika anda menekan pedal pendikit dengan steady, anda boleh cruising di lebuh raya pada kelajuan 110-120 km/j dengan kelajuan enjin sekitar 2,500 rpm. Dan untuk mendapatkan kelajuan sekitar 140-150 km/j, enjin berputar lebih kurang pada tahap 2,900 rpm.

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan bahan api dalam perjalanan jarak jauh, cruising dengan rpm rendah ini juga menjadikan keadaan kabin lebih tenang, dan enjin tidak terasa seakan terbeban.

Walau bagaimanapun seperti yang dinyatakan tadi, enjin ini sudah berada agak lama dalam pasaran tanpa pembaharuan, jadi penggunaan petrolnya juga tidak sebaik dua pesaingnya tadi. Proton sendiri menganggarkan Exora turbo ini menggunakan 7.0 liter petrol untuk perjalanan 100 km. Dalam sesi pandu uji ini, saya mengira sendiri penggunaan petrolnya dalam satu perjalanan. Gabungan perjalanan melalui kawasan bandar, kawasan kampung dan juga lebuhraya, Exora ini menggunakan 13.4 liter petrol untuk jarak 100 km.

Enjin ini juga mempunyai penyelenggaraan ekstra berbanding enjin pada Alza dan Avanza iaitu tali sawat pemasa (timing belt) perlu ditukar pada 110,000 km, manakala dua enjin Toyota tadi menggunakan rantai pemasa (timing chain) yang boleh dikata tahan jauh lebih lama dan tidak dinyatakan dalam manual bila ia perlu ditukar.

Menurut Proton, Exora baharu ini juga telah diperhalusi bagi mendapatkan kadar kebisingan, getaran dan gangguan (NVH) yang lebih rendah dari sebelum ini. Apa yang Proton nyatakan secara spesifik dalam aspek ini hanyalah membuat ubahsuai terhadap cagak (mounting) enjin, tetapi anda boleh rasa sendiri kabin Exora ini sememangnya lebih senyap dari dahulu.

PANDU UJI: Proton Exora RC Premium 2019 – masih relevankah MPV ini untuk bersaing dalam pasaran?

Namun walaupun bunyi enjin, tayar dan juga angin kurang masuk ke dalam, apa yang saya perasan bunyi dari luar seperti bunyi motosikal dan lori sangat mudah menembusi bahagian sisi kabin Exora ini. Tidak tahu apa puncanya, tapi mungkin kerana cermin tingkap MPV ini terlalu besar.

Exora muncul ketika era Proton Gen 2 dan Satria Neo berada di bilik pameran, secara tidak langsung MPV ini juga mendapat suntikan ‘Lotus Ride & Handling‘ ketika dibangunkan dahulu. Jadi, Exora bukan sahaja mempunyai pengendalian yang lebih baik, ia juga antara yang paling selesa berbanding pesaing-pesaing terdekat.

Walaupun anda duduk di atas tempat duduk yang tinggi, pengendalian Exora adalah hampir seperti kereta dengan daya olengan badan yang rendah serta karekter stereng yang tidak perlu dilakukan banyak pembetulan ketika mengambil selekoh. Penumpang pada bahagian paling belakang juga tidak melambung-lambung ketika melalui jalan beralun seperti sesetengah MPV dalam julat harga hampir sama.

Menurut Proton, aspek pengendalian Exora RC ini juga telah disentuh semula bagi menjadikan ia lebih baik. Proton tidak memperincikan apa yang mereka buat, tapi apa yang kami perasan tayar GT-Radial Champiro pada model terdahulu sudah tidak digunakan lagi, digantikan dengan tayar Goodyear Assurance TripleMax.

Tidak lengkap membuat ulasan untuk sebuah MPV tanpa menyentuh soal praktikaliti bukan? Dari segi saiz, sememangnya Exora lebih besar dari Alza dan Avanza kerana ia dikelaskan sebagai MPV segmen-C, sementara dua saingannya tadi adalah dari segmen-B.

Jika kita lihat dengan lebih teliti pada dimensinya, Exora diukur dengan 4,610 mm atau 390 mm lebih panjang dari Alza, juga 420 mm lebih panjang berbanding Avanza. Ia juga lebih lebar dengan ukuran 1,809 mm, berbanding 1,695 mm pada Alza (-114 mm) dan 1,660 mm pada Avanza (-149 mm).

Selain dari ruang tempat duduk yang lebih lega untuk setiap penumpang, dimensi yang lebih besar ini juga memberikan kelebihan ruang kargo belakang. Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, Exora mempunyai ruang penyimpanan dengan kapasiti 132 liter, berbanding hanya 83 liter pada Alza. Exora juga mempunyai ruang penyimpanan tertutup di bawah lantai but belakang tersebut yang membolehkan anda menyimpan barang berharga bagi mengelakkan ia menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggung jawab.

Selain tidak merasa terlambung-lambung, penumpang di kabin belakang Exora ini juga tidak perlu risau dengan sistem penghawa dingin. Ini kerana setiap baris tempat duduk diberikan liang penghawa dingin tersendiri yang diletakkan pada kiri dan kanan bumbung. Suis khas untuk mengawal kelajuan motor kipas penghembus untuk bahagian belakang juga disediakan, terletak di bahagian tengah bumbung antara tempat duduk hadapan dan baris kedua.

Untuk keselamatan pula, Exora menerima brek cakera pada bahagian belakang, dua beg-udara, dan sistem brek ABS bersama EBD. Hanya varian Premium diberikan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), dan sejak tahun 2009, tempat duduk baris kedua Exora masih tidak ditingkat taraf dengan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Untuk nota, dari ketiga-tiga MPV yang disebutkan di atas, hanya Avanza dilengkapi dengan Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, tetapi sedikit pelik kerana masih belum dipadankan dengan ESC.

Sekarang bagaimana? Adakah anda rasa Exora adalah model kuno jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya? Pada saya sendiri, saya sangat menghargai apa yang Proton berikan terhadap ruang, pengendalian, keselesaan, dan juga prestasi enjin pada Exora ini.

Tetapi jika anda mencari MPV tujuh-tempat duduk yang jimat petrol, lebih murah kos penyelenggaraan, manakala prestasi pemanduan diletakkan ditangga-tangga bawah senarai keutamaan, Exora mungkin tidak sesuai untuk anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • sanisaad on Aug 07, 2019 at 5:29 pm

    Mana boleh bandingkan dengan segmen yang tak sama. Exora MPV segmen C. Alza dan Avanza MPV segmen B.

    Cuba bandingkan dengan Innova dan Serena. Kedua2nya mpv segmen C macam exora.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • ISMAIL BIN DIN on Oct 15, 2019 at 11:44 am

    Saya baru beli model exora baru premium, napa tayarnya masih guna tayar gt radial, tuan sebuatkan tayar goodyear?

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
    • Iye betul..saya beli yg premium pun dapat tayar GT Redial. Bila kat showroom saya tengok Exora yang low spec pakai Goodyear Assurance.Saya dah pun email ke Proton Customer service.

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Dylan Ch'ng on May 10, 2020 at 4:05 pm

    English version please.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Pemburuharam on May 11, 2020 at 12:48 am

    Npk gaya penulis nak bandingkan dlm kategori HARGA rasanya… dia nak kata exora ni value buying mpv la kot..yup..mmh npk gitu la..sgt2 value for money

    klu harga bkn ukuran.. byk lg jenama lain segmen C yg jauh lbh hebat.. harga sendiri mau ingat laa

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required