Seperti yang dikhabarkan beberapa hari lalu, SUV mewah bersaiz besar, BMW X7 G07 telah pun dibuka tempahannya untuk pasaran Malaysia. Hari ini pula, ia telah pun dilancarkan secara rasmi bersama model 7 Series baharu.

Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan varian BMW X7 xDrive40i Pure Excellence. Dengan kapasiti tujuh-tempat duduk, model pertama X7 ini sebenarnya lebih besar berbanding X5 sedia ada walau pun menggunakan platform yang sama tetapi yang telah dimodifikasi bagi menampung saiz yang lebih besar. X7 disasarkan untuk bersaing dengan model yang setara dengannya termasuk Mercedes-Benz GLS, Lexus LX dan Range Rover.

Dengan jarak kelegaan tanah dan bahagian belakang yang lebih tinggi, X7 xDrive40i yang berukur lima meter ini hadir dengan kelebaran yang bersaiz 2,000 mm, dan jarak roda berukuran 3,105 mm. Jarak kelegaan tanah mencecah 1,805 mm, iaitu 60 mm lebih tinggi berbanding BMW X5. Ia juga lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLS.

Bahagian hadapan X7 ini ditampilkan dengan gril ‘kidney’ dengan ‘BMW Laserlight’ berbentuk langsing yang mampu mencahayakan laluan di hadapan sejauh 600 meter, dan pada masa yang sama menzahirkan kontras yang dapat dilihat dengan jelas. Ditawarkan sebagai standard, lampu kabus LED serta sistem bantuan lampu puncak juga melengkapi SUV ini. Bahagian bawah apron yang terletak di muncung kenderaan ini memiliki elemen trim yang mengunjur merentasi kelebaran jentera tersebut dan ia ditampilkan dengan bingkai komponen salur masuk udara.

Mengikut pandangan sisi, garisan bahu yang hampir vertikal sepenuhnya membuahkan penampilan yang memanjang dari seksyen hadapan ke belakang. Seperti BMW 7 Series, ia didatangkan dengan liang udara, Air Breather yang lain daripada yang lain dalam elemen krom. Tingkap yang lebih besar serta garis bumbung yang lebih memanjang menerusi kaedah yang dinamik memperlihatkan keluasan kabinnya..

Pintu belakang berukuran lebih panjang berbanding pintu hadapan, ia menekankan keluasan kompartmen belakang yang memudahkan penumpang untuk masuk dan keluar dari jentera ini. Ia juga menampilkan roda aloi ringan 21-inci dalam penggayaan Y-spoke dwiwarna 753 dengan tayar ‘run-flat’ juga ditawarkan sebagai standard. Di bahagian atas, jentera ini juga digayakan dengan rel bumbung yang sporty dalam varian Aluminium Satin.

Melewati bahagian belakangnya pula, siluet menegak juga ditakrifkan secara visual oleh lampu belakang berbentuk-L yang langsing dan ia hadir dalam rekaan tiga dimensi yang menarik. Jaluran trim krom seperti yang dilihat pada BMW 7 Series juga menghubungkan kedua-dua kluster lampu. Pintu but belakang yang luas hadir dengan dua bahagian dan ia boleh dioperasikan secara elektrik. Selain itu, ia menampilkan dua paip ekzos segi empat yang besar di setiap sisi.

Untuk ruang kabinnya pula, ia membawakan elemen trim cantik buatan tangan “Crafted Clarity” yang dipadankan ke atas tuil gear, pelaras bunyi pembesar suara, butang Mula/Henti dan iDrive Controller. Kokpit futuristik berterapkan orientasi pemandu BMW yang tipikal dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi dengan tahap visibiliti sempurna juga merupakan karakteristik yang membentuk model BMW X.

Ciri lain lain termasuk stereng sport berkulit dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik dengan teknologi ventilasi. Permukaan trim kayu halus pula dibingkaikan dengan trim berelektrosadur pada panel instrumen serta konsol sentral untuk memperkayakan aura keelegenan bahagian dalaman.

Upholsteri di ruang dalam ditawarkan dalam kemasan Black Leather Vernasca, Coffee Leather Vernasca (tidak ditawarkan untuk versi kenderaan enam tempat duduk) dan Cognac Leather Vernasca dipadankan dengan papan pemuka berwarna hitam, atau Canberra Beige Leather Vernasca dipadankan dengan papan pemuka “Mokka’.

Seperti model BMW baharu yang lain, X7 ini turut menampilkan BMW Live Cockpit Professional dengan sistem operasi, BMW Operating System 7.0 menjamin fungsi kawalan jentera ini dapat digunakan dengan lancar. Ia menggabungkan kluster instrumen digital 12.3 inci yang boleh dikonfigurasikan dengan Paparan Kawalan sentral yang mempunyai fungsi skrin sentuh serta antara muka yang tercanggih.

Bukan itu sahaja, ciri lain untuk jentera ini termasuk kluster instrumen pula memaparkan fungsi-fungsi yang lain seperti navigasi, maka Paparan Kawalan boleh memberikan tumpuan yang sepenuhnya ke atas aspek kefungsian kenderaan dan maklumat hiburan Selain itu, ciri lain termasuklah BMW Head-Up Display, BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Gesture Control., pendingin hawa lima-zon, Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, dan tirai gulung elektrik untuk tingkap sisi.

Bukan itu sahaja, sistem Rear Entertainment Professional hadir dengan dua skrin yang terletak di ruang belakang kini boleh dioperasikan menggunakan sentuhan jari – ia membekalkan elemen hiburan yang sama kualitinya untuk penumpang di hadapan dan di belakang. Selain itu, ia turut menampilkan bumbung kaca panoramik “Sky Lounge”, pencahayaan ambien dengan fungsi Welcome Carpet.

Tujuh tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik secara standard. Walau bagaimana pun, jika dipesan dalam versi enam tempat duduk, kenderaan ini didatangkan dengan dua tempat duduk berasingan yang selesa di barisan kedua, lantas memudahkan lagi akses bagi penumpang di barisan ketiga.

Tempat duduk di barisan kedua kini mempunyai pembahagian 40/20/40 untuk memuatkan barangan besar, serta ia juga boleh dibahagikan 60/40 untuk mewujudkan ruang masuk dan keluar yang lebih selesa buat para penumpang. Untuk menaik taraf aspek kemudahan ini, kesemua tempat duduk juga boleh dilipat atau dikembalikan ke posisi asalnya dengan hanya menekan butang yang disediakan.

X7 xDrive40i ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter petrol pengecas turbo enam-silinder sebaris yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 340 PS dan tork 420 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda. Ia membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Untuk aspek keselamatan, ia didatangkan dengan ciri BMW Personal CoPilot terdiri daripada Parking Assistant Plus, Reversing Assistant, Driving Assistant Professional yang merangkumi Lane Departure Warning, Lane Change Warning, dan Front Collision Warning dengan intervensi brek. Selain turut menawarkan Lane Keeping Assistant dengan Active side collision protection, Steering and lane control assistant, Emergency Stop Assistant, Evasion Aid, Crossroads warning dengan fungsi City Braking.

Diberikan tujuh warna pilihan iaitu Mineral White, Black Sapphire, Artic Grey atau Sophisto Grey, Phytonic Blue, Terra Brown dan Vermont Bronze, BMW X7 xDrive40i Pure Excellence ditawarkan pada harga anggaran RM888,800 (atas jalan, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dengan Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar Bertempoh Dua Tahun/24 Bulan, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card dan Servis Dalam Talian BMW.