Seperti yang diketahui, semua pelumba pasukan KTM dalam kategori MotoGP (Johann Zarco, Pol Espargaro dan Miguel Oliveira) sudah pun menandatangani kontrak untuk tahun depan, kecuali Hafizh Syahrin. Sekarang, pemilik satu tempat kosong itu sudah terjawab apabila Red Bull KTM Tech 3 memilih Brad Binder sebagai pelumba.

Binder sudah lima tahun bersama KTM di mana beliau bermula daripada Red Bull MotoGP Rookies Cup pergi ke Moto3 dan kemudiannya sekarang dalam Moto2. Antara tahun 2012 hingga 2015 dalam kategori Moto3, Binder berjaya mendapatkan enam kali podium manakala pada tahun 2016, beliau memenangi perlumbaan sebanyak tujuh kali dalam kategori itu.

Masuk pula ke kategori Moto2 pada tahun 2017 bersama pasukan Red Bull KTM Ajo, Binder berjaya mendapatkan tiga kali podium dan pada tahun 2018 beliau berjaya menamatkan perlumba di tempat pertama beberapa kali sebelum menamatkan musim di tempat ketiga secara keseluruhan. Untuk tahun 2019, Binder telah menaiki podium sebanyak dua kali dan kini berada di tempat kelapan dalam carta keseluruhan dengan 84 kutipan mata (beza 52 mata berbanding Alex Marquez di tempat pertama).

“Saya sentiasa terpukau dengan bakat, ciri agresif serta sikap tidak menyerah kalah beliau, dan apabila menguruskan sebuah pasukan lumba motosikal, ini adalah profail penunggang yang dimahukan. Ia akan menjadi sebuah pasukan yang kuat, sebab saya rasa akan ada hubungan yang baik antara beliau dan rakan sepasukan, Miguel. Sejujurnya, saya tidak boleh mengimpikan struktur yang lebih baik,” kata pengurus pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal.

Bagaimana pula dengan nasib Hafizh Syahrin? Setakat ini tiada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan rasmi dan kita masih perlu menunggu sebarang berita. Banyak kemungkinan yang boleh difikirkan, tetapi kita masih perlu menanti jawapan rasmi. Harap beliau masih boleh berlumba dalam MotoGP.