Dilancarkan pada penghujung 2018 bersekali dengan beberapa model C-Class W205 facelift, Mercedes-AMG C43 menjadi penanda aras jentera berprestasi bagi model berkenaan. Menggantikan model sama sebelumnya, ia dijual pada harga RM421,888 ketika pelancaran, atas jalan tanpa insurans.

Membezakannya dari model terdahulu adalah beberapa kemaskini dari sudut penampilan serta pertambahan kelengkapan. Tidak lupa, sistem janaan kuasa yang sama turut diberikan sedikit peningkatan prestasi. Dihiasi luarannya dengan kemasan AMG Line, ia antara lain dilengkapi dengan lampu utama LED dengan ciri High Beam Assist, AMG “spoiler lip” serta sistem ekzos sport AMG. Rim pula menggunakan saiz 19-inci AMG, dengan tayar 225/40 di depan manakala 255/35 di belakang.

Bagi sistem janaan kuasa, enjin 3.0 liter turbo berkembar yang digunakan memperoleh angka output 385 hp @ 6,100 rpm; 23 hp lebih tinggi dari yang dulu. Tork puncak pula ialah 520 Nm, dicapai pada 2,500 rpm hingga 5,000 rpm (dahulu pada 2,000 rpm hingga 4,000 rpm). Ia dipadankan dengan transmisi TCT 9G automatik AMG Speedshift sembilan-kelajuan. Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, dengan laju maksimum 250 km/j.

Di dalam, kluster instrumen menggunakan paparran 12.3-inci digital sepenuhnya, spesifik kepada penggayaan AMG. Skrin multimedia di tengah juga lebih besar menjadi 10.25-inci, dikendalikan melalui sistem COMAND Online. Ini termasuk ciri AMG Track Pace, yang membolehkan pemandu mengumpulkan data ketika pemanduan di litar. Sokongan Apple Carplay dan juga Android Auto juga disediakan.

Kelengkapan lain yang ada termasuk kawalan pendingin hawa Thermotronic, bumbung panoramik, Keyless Go, kamera 360-darjah, sistem Tyrefit sementara aspek keselamatan turut dilengkapi dengan tujuh beg udara dan ciri AEB sebagai ciri standard bagi semua barisan model C-Class.

Untuk melihat dengan lebih terperinci kelengkapan penawaran dan rekaan bagi model Mercedes-AMG C43 terbaru ini, tinjau galeri penuh yang kami sediakan ini. Selain itu, ikuti juga pengalaman pemanduan kami bersama versi terdahulu model yang sama dalam laporan ini.