Nissan Juke telah berada dalam pasaran sejak 10 tahun lalu. Setelah agak lama menunggu penggantinya, model generasi kedua serba baru Juke akhirnya akan diperkenalkan pada 3 September nanti. Dan untuk itu, pengeluar dari Jepun berkenaan telah mula menayangkan imej “teaser” bagi model crossover berkenaan.

Juke nampaknya akan mengekalkan imej funky sebelum ini. Rekaan lampu bertingkat kelihatan masih dikekalkan, dengan sentuhan yang lebih kemas. Bahagian atas lampu berkenaan dijadikan jalur yang lebih tirus berbanding sebelumnya. Hujungnya juga bersambung dengan gril V-Motion yang berada di tengah.

Bahagian bawah lampu yang sama pula menampilkan pencahayaan tiga elemen di dalamnya, sebagai lanjutan daripada rekaan yang terdahulu. Bukaan udara yang lebar dahulu juga kini telah dikecilkan untuk memberi ruang kepada rekaan gril V-Motion yang digunakan.

Setakat ini tidak banyak maklumat yang didedahkan oleh Nissan. Namun, kereta yang sama telah dilihat sedang diuji sebelum ini, menampak sedikit sebanyak penampilan keseluruhan luarannya. Garis bumbung sedikit lebih rendah, garis pada badan pula menjadikan Juke nampak lebih lebar. Rekaan lampu belakang pula tidak lari jauh dari apa yang pernah dilihat pada model March/Micra.

Juke serba baru ini khabarnya akan menggunakan platform CMF-B yang turut digunakan pada Renault Captur. Pilihan enjin pula mungkin terdiri daripada unit kapasiti kecil dengan turbocas petrol dan diesel, serta versi 1.6 liter hybrid.