Sempena berakhirnya pengeluaran model kereta ikonik Volkswagen Beetle, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hujung minggu lalu menganjurkan sebuah perhimpunan “The Iconic Gathering” untuk memperingati dan meraikan peminat-peminat Beetle di Putrajaya,
Acara dimulakan awal pagi Sabtu dengan konvoi melibatkan 138 buah Beetle di Kuala Lumpur sebelum menuju ke Putrajaya untuk bergabung dengan sebahagian besar lagi Beetle yang menunggu di sana. Secara keseluruhannya, sejumlah 405 unit Beetle berjaya dikumpul, menampilkan pelbagai imej individual terhadap model ikonik terbabit.
“Ia sebuah acara yang menyentuh hati bagi kami, untuk melihat barisan demi barisan kereta Beetle yang ada hari ini. Saya yakin semua pemilik yang terlibat juga berkongsi rasa yang sama,” jelas Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.
Ketika acara, hantaran Instagram Siti Aishah Ismail berkenaan kereta Beetle miliknya menerima “Like” terbanyak dan dinobat dengan gelaran sama. Bagi gelaran kereta terbaik yang menarik perhatian juri pula menjadi milik tiga individu; Fairul Irwan, Raja Gopal dan Thavanesan A/L Selvaratnam yang memenangi hati juri bukan hanya dengan penampilan kereta mereka, tetapi juga cerita di sebaliknya.
Turut ikut serta ialah Beetle Collector’s Edition, dengan hanya 75 unit ditawarkan dengan setiap satunya dijual pada harga RM164,390. Datang bersama sijil pemilikan rasmi, ia turut dilengkapi aksesori bernilai RM12,000. Selepas lapan dekad, sejumlah 21 juta unit Beetle telah terjual diseluruh dunia. Kini, sampai masanya untuk kita ucapkan selamat tinggal kepada Beetle.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.