BMW x Heiwa R nineT Scrambler dan STG Nautilus – dua motosikal kustom Jepun sedia untuk AOS 2019

BMW x Heiwa R nineT Scrambler dan STG Nautilus – dua motosikal kustom Jepun sedia untuk AOS 2019

Hujung minggu ini akan berlangsung acara Art Of Speed di MAEPS, Serdang. Sebagai sebuah acara yang mengetengahkan sisi radikal dan seni dalam automotif, setiap tahun penganjurnya bukan sahaja membawa jentera dan barangan tempatan untuk dipamer, tetapi juga dari luar negara sebagai inspirasi untuk orang ramai.

Tahun ini, antara yang utama adalah dua motosikal kustom dari Jepun iaitu R nineT Scrambler hasil kerja Heiwa dengan kerjasama BMW sendiri, dan STG Nautilus buatan Hot Dock. Walaupun kedua-duanya adalah motosikal kustom, masing-masing mempunyai karekter dan identiti tersendiri.

Bagi mereka yang tidak memerhati secara teliti R nineT Scrambler Heiwa, ia mungkin nampak seperti motosikal kustom kebanyakan. Tetapi, pelanggan yang sudah biasa dengan jenama terkenal di Jepun ini mengatakan ia mempunyai gaya tipikal sebuah Heiwa. Bagi pembinanya, Kengo Kimura, beliau cuma memberikan yang terbaik untuk menghasilkan sebuah motosikal yang nampak hebat.

Barangan seperti ekzos, tempat duduk, tangki bahan api, rim dan lampu hadapan mungkin sudah boleh diketahui terus oleh kebanyakan orang sebagai bahagian yang sudah diubah, tetapi sebenarnya ada banyak lagi. Pada bahagian rangka, cuma yang di hadapan saja datang daripada model asal R nineT, sementara rangka selebihnya yang memegang sebahagian enjin, tempat duduk dan lengan ayun semuanya buatan sendiri Heiwa.

Hasil tangan Heiwa juga agak kemas, dan sekiranya tidak diberitahu atau dibandingkan dengan R nineT standard, anda mungkin tidak tahu bahagian ini telah diubah. Kerja selebihnya dianggap oleh Heiwa sebagai lebih mudah. Rim diambil daripada model GS1200 dan dibalut dengan tayar Metzeler Karoo 3, pemegang dijadikan lebih pendek dan bahagian kokpit digantikan dengan butang yang lebih ringkas. Meter berbentuk bulat pula dialihkan berhampiran enjin, di bahagian kiri.

Walaupun merupakan sebuah motosikal pameran, Kimura mengubah suai R nineT ini supaya ia masih boleh ditunggang dengan mudah. Jadi, beliau tidak begitu keterlaluan seperti yang biasa dilakukan pada motosikal yang keluar daripada Heiwa.

BMW x Heiwa R nineT Scrambler dan STG Nautilus – dua motosikal kustom Jepun sedia untuk AOS 2019

Motosikal kedua yang dinamakan sebagai SG Nautilus adalah hasil seorang lagi pembina Jepun, Keiji Kawakita. Nama beliau bukan sahaja terkenal dalam dunia kustom Jepun sahaja, malah turut mendapat perhatian dunia dengan ada yang mengatakan ciptaan beliau sebagai antara yang paling inovatif dalam industri.

SG Nautilus ini sebenarnya sudah siap lebih 10 tahun dulu tapi kami rasakan ia tidak akan lapuk dan boleh dihargai dalam masa yang panjang. Sekali pandang, memanglah ia menampakkan rekaan yang raw dan industrial, dengan kebanyakan bahagian menampakkan keadaan asal besi aluminium, tembaga dan cast iron.

Namun, semakin dekat dan semakin lama anda memerhatinya, barulah banyak lagi benda yang boleh dihargai. Hampir keseluruhan bahagian pada motosikal ini dibuat sendiri sehinggalah barangan kecil seperti angkup brek dan penutup head enjin S&S yang mempunyai nama Hot Dock. Selain perhatian kepada perincian, ketelitian dan kualiti kerja Kawakita turut menyerlah melalui SG Nautilus.

Kami boleh menunjukkan anda gambar motosikal yang dibawa khas dari Jepun ini, tetapi untuk lebih menghargainya anda perlu melihat sendiri di depan mata dan meluangkan masa untuk memerhatinya sewaktu acara Art Of Speed yang akan berlangsung hujung minggu ini. Semakin lama anda membelek, semakin banyak perincian yang akan membuatkan anda kagum.

Bukan setakat pameran kenderaan, banyak lagi aktiviti yang akan diadakan di AOS 2019 yang termasuk seperti pertandingan binaan kereta kustom di kalangan pembina tempatan, pelancaran model Hot Wheels “Japan Historics 3”, pameran kasut Vans Era, pesta muzik Sound Circus, pameran vintaj, perlumbaan basikal tolak Strider, dan dua cabutan bertuah yang menawarkan kereta iaitu Volkswagen Beetle Gen 1 daripada Hausboom dan Mini Mizuki berenjin Hayabusa.

GALERI: BMW x Heiwa R nineT Scrambler

GALERI: Hot Dock STG Nautilus

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required