Adakah benar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika pengumuman pengambilalihan empat lebuhraya dengan nilai RM6.2 bilion tempoh hari, dilakukan tanpa kelulusan kabinet? Itu tak betul, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“Tak berlaku perkara sebegitu. Kabinet telah dimaklumkan tentang perancangan kementerian kewangan ini dan kami tidak pula menyatakan bantahan. Tarikh pelaksanaannya akan ditentukan oleh kabinet,” ujar Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini, memetik laporan Malay Mail. Beliau juga menyangkal laporan sebelum ini yang menyatakan cadangan pengambilalihan itu kini ditangguhkan untuk dinilai semula.

Semalam, akhbar Straits Times Singapura mendakwa cadangan tersebut telah ditangguhkan untuk menilai semula harga yang ditawarkan itu, dengan menyebut beberapa pihak dalam kerajaan pusat termasuk menteri kabinet, merasakan jumlah berkenaan terlalu tinggi.

Laporan yang sama juga menyebut, sesetengah lagi pihak menyatakan, anggaran kutipan oleh Kementerian Kewangan, ditambah dengan kutipan caj kesesakan yang dicadangkan akan dikutip, mungkin tidak akan membolehkan pengambilalihan itu mendanai tindakan tersebut sendir (self-funded), seperti yang dibentangkan sebelum ini.