Ahad ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan mengadakan satu acara Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang. Waktu itu pelbagai aktiviti akan dibuat seperti pameran motosikal, konsert, peraduan motosikal kustom, tunggang uji, pertunjukan aksi lagak ngeri dan tunggang uji motosikal. Namun yang paling ditunggu-tunggu adalah pelancaran model baru.

Ramai yang tertanya apakah model baru tersebut dan sejujurnya, kami pun tidak menjangka ia adalah model serba baru yang hangat diperkatakan sekarang seperti NMax 155 facelift ataupun Y15ZR VVA kerana biasanya negara lain yang akan mendapat model seperti ini terlebih dahulu.

Bagi Karnival Gen Blu ini, HLYM telah memberikan petunjuk model baru yang akan dilancarkan; ia membawa nama Doxou. Bagi yang mengikuti trend Yamaha di Asia Tenggara, anda pasti tahu Doxou adalah versi istimewa bagi Y15ZR dan NVX155 yang sudah pun dilancarkan di Vietnam awal tahun ini.

Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan grafik warna utama biru matte yang diserikan lagi dengan warna seperti tembaga kemerahan. Lebih unik, rimnya juga berlainan warna iaitu biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan. Kemudiannya terdapat beberapa jalur dan tulisan Doxou itu sendiri pada badan motosikal. Selain daripada itu, bahagian mekanikal dua model ini masih lagi sama dengan Y15ZR dan NVX155 standard.

Kami tahu, di Malaysia sebenarnya ada yang sudah menggunakan kit badan Doxou ini pada motosikal mereka, kerana unit asli daripada Vietnam, malah juga tiruan sudah boleh didapati dalam pasaran. Tetapi melalui pelancaran sendiri oleh HLYM ini, sekurang-kurangnya anda tidak perlu berbelanja lagi untuk membeli kit badan ini serta mengecat semula rim.

Di Vietnam, Y15ZR Doxou dijual pada harga lebih 1 juta Dong (RM177) berbanding Y15ZR versi biasa manakala NVX155 Doxou dijual pada harga lebih 500,000 Dong (RM88) berbanding NVX155 ABS dengan spesifikasi sama (termasuk sistem kunci pintar), menjadi 47.99 juta Dong (RM8,487) untuk Y15ZR Doxou dan 52.74 juta Dong (RM9,327) untuk NVX155 Doxou. Di Malaysia, harga cadangan pengeluar HLYM untuk Y15ZR adalah RM8,168 manakala untuk NVX155 RM9,988 tidak termasuk insurans.

GALERI: Yamaha Y15ZR dan NVX155 Doxou pasaran Vietnam