Proton kini buat pertama kali kembali di kedudukan nombor dua bagi jumlah keseluruhan jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh 40 bulan terakhir. Kali terakhir Proton berada di dalam kedudukan sama ialah pada Mac 2016, manakala kedudukan yang sama dalam tahun setahun penuh pula ialah pada 2015.

Dengan jumlah jualan sebanyak 8,590 unit bagi bulan Julai, bermakna momentum positif bagi tahun ini telah berterusan selama tujuh bulan berturut-turut, menjadikan Proton satu-satunya jenama yang mampu mencatat pencapaian sepanjang 2019, setakat ini.

Anggaran pegangan pasaran bagi bulan lalu pula ialah sebanyak 16.5% dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 51,960 unit. Pegangan pasaran keseluruhan Proton bagi 2019 setakat ini dianggarkan berada pada kadar 15%. Setakat ini, jumlah jualan yang dicatatkan ialah sebanyak 52,108 unit berbanding 35,561 unit tahun lalu, bagi tempoh sama.

Proton juga terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding 12 tahun lalu, ketika pembelian kenderaan di Malaysia meningkat disebabkan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan pada 2018. Bagi Proton, setelah mencapai peningkatan jualan 23% bagi bulan Jun, angka berkenaan sekali lagi meningkat sebanyak 6% bagi bulan Julai. Walaupun kadar kenaikan berkurang, Proton menjadi satu-satunya jenama utama pengeluar yang mencatatkan kenaikan jualan positif sepanjang Julai lalu, membuktikan permintaan tinggi terhadap produknya.

“Kedudukan Proton kembali ke tempat kedua secara keseluruhannya dalam pasaran automotif Malaysia telah berlaku lebih awal daripada yang kami jangkakan. Peningkatan permintaan terhadap produk menunjukkan kami berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jangka panjang. Dan bagi 2019, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan dan berhasrat untuk mengakhiri tahun ini di tempat kedua buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Peningkatan jualan kenderaan Proton telah disumbangkan oleh prestasi menyerlah setiap model yang ada. Varian Premium dan Eksekutif bagi Proton X70 terus menjadi peneraju dalam segmen SUV masing-masing dengan 1,932 unit telah diserahkan pada bulan Julai dan sebanyak 17,023 unit sepanjang 2019 setakat ini.

Proton Persona terkini turut merupakan antara model yang menjadi pilihan. Ia dilancarkan pada bulan April tahun ini dan sejak itu, jualan telah meningkat hampir dua kali ganda bagi tempoh sama pada tahun 2018. Sebanyak 2,720 unit telah diserahkan pada bulan Julai, menjadikan model ini yang terlaris dalam pasaran sedan segmen B, mengatasi pesaing keluaran syarikat Jepun yang sebelum ini menguasai segmen tersebut. Dengan 10,034 unit serahan setakat ini, Persona telah mencatatkan kenaikan 3% bagi tempoh sama berbanding tahun lalu.

Proton Iriz juga turut mengalami pertumbuhan sejak versi terkininya dilancarkan bersama Persona. Sebanyak 974 unit telah diserahkan bulan lalu, dan bagi tujuh bulan pertama tahun ini, sejumlah 3,035 unit telah dijual. Apa yang lebih mengagumkan, jualan yang meningkat sebanyak 53% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi Proton Saga, model ini berjaya dijual sebanyak 2,381 unit pada bulan Julai, daripada jumlah keseluruhan iaitu 17,722 unit yang terjual setakat ini. Walaupun terdapat penurunan dalam jualannya berbanding bulan sama pada 2018, jualan keseluruhannya terus meningkat sebanyak 14%, menjadi satu pencapaian luar biasa bagi model yang akan menerima kemaskini terbaru dan yang akan diperkenalkan minggu hadapan.