McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

Pada Disember 2018, McLaren telah mendedahkan model baharu bagi generasi kedua barisan Super Series mereka iaitu 720S Spider dan ini adalah versi convertible bagi 720S coupe yang diperkenalkan pada Mac tahun yang sama. Hari ini, McLaren Kuala Lumpur telah memperkenalkannya secara rasmi untuk pasaran tempatan.

720S Spider dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo M840T dan mampu menghamburkan kuasa sehingga 720 PS dan tork 770 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan SSG yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang, sama seperti versi coupe.

Gandingan unit penjana kuasa ini mampu mendorong 720S Spider untuk dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 341 km/j. Walau bagaimana pun kelajuan maksimum itu hanya boleh dicapai dengan bumbung tertutup, dan jika terbuka, ia hanya mampu mencecah 325 km/j sahaja. Untuk pecutan 0-200 km/j, model Spider ini lebih lambat 0.1 saat iaitu 7.9 saat, berbanding versi coupe. Sama seperti coupe, Spider turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan – Comfort, Sport dan Track.

McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

Menurut McLaren, 720S Spider yang pernah dinobatkan sebagai 2019 World Performance Car of the Year mempunyai berat secara keseluruhan mencecah 1,332 kg iaitu 49 kg lebih berat berbanding versi coupe. Walau bagaimana pun masih 88 kg lebih ringan berbanding pencabar terdekatnya, Ferrari 488 Spider. Peningkatan berat ini adalah disebabkan ia menggunakan struktur gentian karbon Monocage II-S, yang turut mempunyai struktur penyokong tetap yang bertindak sebagai pelindung penumpang sekiranya jentera terbalik.

Selain daripada itu, kekuatan struktur ini juga memberi makna ia tidak perlu sebarang pendakap lain walaupun bumbung dibuka. Kenaikan berat ini juga kebanyakannya datang daripada peralatan untuk melipat bumbung tersebut, dan menurut McLaren, ia boleh beroperasi dalam masa yang paling pantas dalam kelasnya, iaitu 11 saat untuk naik dan turun, dan boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Bagi aspek rekaannya, selain bumbungnya yang sememangnya jauh berbeza dengan model coupe, cermin belakangnya pula boleh diturunkan secara elektronik dan memiliki buttress baharu. Selain itu, spoiler belakang aktifnya boleh dinaik dan diturunkan dengan pemetaan yang berbeza bagi memberikan ciri aerodinamik yang lebih optimum.

Pada bahagian hadapan, perumah lampunya, selain menempatkan lampu utama dan lampu siang LED, turut mempunyai laluan udara ke bahagian tepi kereta. Bahagian bawah di depannya juga mempunyai penapis udara anti-lift untuk menjadikan jentera lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

McLaren 720S Spider diperkenalkan di Malaysia – terhad tiga unit sahaja, harga dari RM1,218,000

Bagi 720S Spider ini, ia dipadankan dengan roda aloi baharu Lightweight 10-jejari yang dibaluti tayar Pirelli P ZERO, yang direka secara khas dengan kerjasama McLaren Technology Partner, untuk memberikan keseimbangan prestasi yang optimum, lebih mencengkam dan pemanduan yang lebih selesa dalam apa jua corak jalan.

Untuk bahagian dalamannya, ia mengadaptasikan ciri yang ada pada versi coupe, ini termasuklah rekaan tanpa bingkai untuk menempatkan sistem Retractable Hard Top (RHT), yang memberikan akses yang lebih sofistikated bersama material yang lebih elegan untuk kemasannya. Sistem engsel pintu baharu dan posisi topang gas juga sama bagi kedua-dua versi coupe dan Spider.

Selain itu, ia turut menampilkan Central Infotainment Screen resolusi tinggi 8.0-inci yang memaparkan data dan fungsi kenderaan. Ia turut turut memaparkan fungsi audio, media, navigasi, kawalan suhu dan lain-lain ciri, yang boleh dicapai dengan ‘hard key’ untuk kawalan yang lebih mudah.

Untuk pasaran Malaysia, 720S Spider ini turut ditawarkan dengan tiga spesifikasi yang sama dengan Coupe, bersana kemasan Performance dan Luxury selain model standard. Dua warna baharu turut diperkenalkan iaitu Belize Blue dan Aztec Gold, selain Memphis Red dan Supernova Silver yang pertama kali dilancarkan menerusi pengenalan McLaren 12C. 720S Spider ini hanya ditawarkan secara terhad sebanyak tiga unit sahaja untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,218,000 (tanpa cukai dan pilihan lain).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required