Nissan Serena J Impul telah pun diperkenalkan di pasaran tempatan pada Disember lalu. Versi dua-tona ini dijual pada harga atas jalan RM149,888 tanpa insurans, tapi pelanggan boleh memilih versi satu-tona kemasan hitam bagi luarannya dengan harga kurang RM2,000 iaitu RM147,888.

Peningkatan estetik yang dilakukan termasuk pada apron hadapan dengan kemasan krom untuk lampu kabus dan lip bawah, bersama kemasan krom untuk lip belakang, aloi Impul Millennium 18-inci dalam tona hitam (dengan tayar siri 225/40), serta tempat duduk warna mocha. Ciri pilihan termasuklah kotak penyejukan untuk dalam kereta (RM488) dan unit utama pemain DBD dengan fungsi navigasi (RM800).

Senarai kit lain mirip dengan varian Premium Highway Star, dan termasuk lampu projektor LED automatik, pintu gelangsar berkuasa, paparan kluster instrumen tujuh-inci, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, unit utama 6.75-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, panel LCD belakang 10.1-inci, enam beg udara dan paparan pandangan sekeliling serta banyak lagi.

Serena J Impul masih kekal dijanakan oleh enjin petrol MR20DD 2.0 liter suntikan-terus empat-silinder, yang mampu menghasilkan sehingga 150 PS dan tork 200 Nm. Ia dipadankan bersama Xtronic CVT yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dengan dibantu oleh motor elektrik Eco 2.6 PS/48 Nm yang menggantikan motor penghidup.

Harga yang ditawarkan adalah termasuk waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, dan aksesori Imoul didatangkan secara waranti berasingan selama tiga-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).