VIDEO: Tun M pandu sendiri Proton Saga facelift 2019

Di sebalik jadual beliau yang sentiasa padat, perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat mengambil masa untuk menguji sendiri Proton Saga facelift 2019 di sekitar Kuala Lumpur. Video berkaitan boleh ditonton di laman media sosial beliau termasuk Youtube.

Dalam video tersebut, Dr Mahathir mulanya diberikan sedikit penerangan tentang Saga baru oleh pengarah kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon. Turut hadir pada sesi itu adalah pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar serta timbalan CEO Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Saga facelift 2019 dilancarkan untuk pasaran 6 Ogos lalu, dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard MT, Standard AT and Premium AT. Antara perubahan rekaan untuk model baru ini adalah termasuk gril “Infinite Weave”, bampar, serta lampu DRL LED baru. Rekaan rim dan tulisan Proton di belakang juga adalah baru.

Di dalam, bahagian tengah papan pemuka direka semula dengan corong pendingin hawa direndahkan sedikit, bagi memuatkan skrin sesentuh 7.0 inci yang menggunakan sistem Android. Panel instrumen, fabrik yang digunakan untuk membalut tempat duduk serta tombol gear unit automatik juga adalah baru.

Enjin Saga ini masih lagi menggunakan unit empat silinder 1.3 liter DOHC VVT yang mampu menghasilkan kuasa 95 PS pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm, tetapi bagi varian automatik, transmisinya telah ditukar kepada unit torque converter empat kelajuan daripada Hyundai (sebelum ini CVT).

Kami telah memandu sendiri Saga facelift 2019 ini dan anda boleh membacanya di sini.