Sebuah kenderaan dicuri setiap 40 minit – VTREC

Sebuah kenderaan dicuri setiap 40 minit – VTREC

Pada akhir Jun lalu, Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan 2019. Ia turut disertai oleh Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) bersama beberapa agensi kerajaan serta bukan kerajaan, dan disasarkan untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya kecurian kenderaan serta bagaimana untuk mengelakkannya dari terjadi.

Baru-baru ini pula, VTREC telah mendedahkan, di Malaysia, sebuah kenderaan dilaporkan hilang dalam setiap 40 minit. Hasil kajian yang dibuat tahun lepas berdasarkan tuntutan insurans yang diterima itu mendapati sebanyak 13,340 unit kenderaan dicuri sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu, 60% melibatkan motosikal.

Pengarah VTREC Datuk Ooi Win Juat berkata kadar kecurian kenderaan itu bagaimanapun berjaya dikurangkan hasil kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta melalui pelbagai tindakan proaktif dalam memperketatkan ekosistem pentadbiran dan transaksi kenderaan.

Klik untuk besarkan

“Dalam tempoh empat tahun dari 2014 hingga 2018, statistik PDRM dan PIAM menunjukkan persamaan dari segi penurunan kadar kecurian kenderaan iaitu dalam lingkungan 50%. Walaupun ada penurunan tetapi harus sentiasa mengawasi supaya trend seperti ini berterusan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Beliau turut berkata, pihaknya akan terus membantu dengan menjalankan kempen kesedaran kepada pemilik kenderaan untuk melakukan pencegahan supaya kenderaan mereka tidak terdedah untuk dicuri.

“VTREC akan berusaha mendapatkan penglibatan masyarakat untuk memainkan peranan dalam membanteras jenayah curi kenderaan terutama dari segi pencegahan,” ujarnya lagi dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Kesedaran Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC yang berlangsung semalam.

Sebuah kenderaan dicuri setiap 40 minit – VTREC

VTREC juga pernah mendedahkan senarai 10 kenderaan paling banyak dicuri untuk suku pertama tahun 2019. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Proton Wira masih lagi kekal sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dari Januari hingga Jun 2019, dengan sejumlah 127 unit dilaporkan telah hilang. Ia diikuti oleh satu lagi model cash cow dari Proton, Iswara dengan laporan 82 unit telah dicuri dalam tempoh yang sama.

Tempat ketiga jatuh kepada satu lagi kereta ikonik Malaysia iaitu Perodua Kancil. Dalam tiga bulan terawal tahun ini, sebanyak 70 buah Kancil telah dilaporkan dicuri. Selain itu, Toyota Hilux masih kekal sebagai model bukan nasional paling banyak dicuri di Malaysia untuk suku pertama tahun ini. Dalam tempoh tiga bulan berkenaan, sebanyak 52 buah Hilux telah dilaporkan hilang kerana dicuri.

Senarai ini diikuti oleh Perodua Myvi di tangga kelima (49 unit), Proton Waja di tempat keenam (41 unit) dan Proton Saga di kedudukan ketujuh (40 unit). Satu lagi kenderaan komersial yang popular iaitu Nissan Vannete berada di tempat lapan dengan laporan sebanyak 36 unit telah dicuri. Dua model sedan popular dari Honda iaitu Civic dan City menghuni tempat kesembilan dan kesepuluh, dengan sedan segmen-C berkenaan mencatatkan kecurian sebanyak 28 unit, dan 28 buah City dilaporkan dicuri sepanjang tempoh yang sama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required