Honda Malaysia kini memperkenalkan Honda City Special Editon (SE) untuk pasaran tempatan. Ditawarkan dalam warna Passion Red dan White Orchid Pearl, model SE ini menggunakan asas varian pertengahan E, tetapi dengan tambahan kelengkapan dan harga lebih rendah.

City SE masing-masing dijual pada harga RM75,955 dan RM76,075 bagi warna merah dan putih berkenaan; merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Harga biasa City E ialah RM79,955. Antara kelengkapan yang ditambah ialah perakam video digital (DVR), pengimbas tol binaan dalam, visor pintu serta penyusun ruang barangan.

Bagi DVR, ia merakan dalam masa nyata untuk bahagian depan dan belakang kenderaan. Pengimbas tol binaan dalam pula berfungsi seperti unit yang ada pada Perodua Myvi atau unit LokaTAG atau Smart Tag, tetapi datang siap dengan kereta anda dan bukan secara berasingan.

Honda City dilengkapi enjin 1.5 liter i-VTEC dengan janaan 120 PS dan 145 Nm tork dan digandingkan dengan kotak gear CVT. Selain itu, terdapat juga Honda City Hybrid yang menggunakan sistem transmisi automatik klac-berkembar yang lebih sporty maklum balasnya.