Porsche Macan facelift kini menerima satu varian baru yang terletak paling tinggi iaitu Macan Turbo. Meskipun menggunakan enjin yang berkapasiti lebih kecil berbanding Macan S, iaitu unit petrol V6 2.9 liter biturbo, Macan Turbo mampu menghasilkan kuasa lebih tinggi, iaitu 440 PS antara 5,700 rpm hingga 6,600 rpm, dan 550 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,600 rpm.

Kuasa ini disampaikan kepada semua tayar melalui kotak gear PDK klac berkembar tujuh kelajuan serta sistem pacuan Porsche Traction Management, dan membolehkan Macan Turbo memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat apabila dipasang dengan pakej Sport Chrono. Laju maksimum pula adalah 270 km/j. Secara keseluruhannya, Macan Turbo ini mempunyai berat 1,945 kg, dan ia mampu memberikan penggunaan bahan api 9.8l/100 km, dengan lepasan karbon 224 g/km.

Satu kelengkapan baru pada Macan Turbo ini adalah Porsche Surface Coated Brake (PSCB), seperti yang digunakan pada Cayenne E3. Ia terdiri daripada cakera yang disalut dengan tungsten-carbide, yang mampu mempercepatkan tindak balas brek, mengurangkan kelusuhan dan menghasilkan 90% kurang habuk berbanding cakera brek besi biasa. Angkupnya pula diwarnakan putih, dan pemilik masih boleh memilih pakej brek PCCB seramik.

Dalam keadaan standard, Macan Turbo ini datang dengan suspensi biasa dengan penyerap yang boleh dilaras, tetapi pemilik masih boleh mendapatkan pilihan suspensi udara yang tingginya boleh dilaras dan mempunyai penyerap hidraulik baru. Pada bahagian rekaan, muka serta spoiler bumbung adalah khas untuk varian Turbo, sementara rim asal pula adalah unit 20 inci. Meningkatkan prestasinya, model ini dipasang dengan sistem ekzos sport serta empat muncung ekzos di belakang.

Masuk ke bahagian dalam Macan Turbo ini masih menggunakan rekaan yang sama seperti model Macan yang lain, dengan fungsi infotainmen dikawal melalui skrin sesentuh 10.9 inci di tengah. Barangan lain yang diberi secara standard termasuk pembesar suara Bose 665 watt, tempat duduk sport larasan kuasa 18 arah serta lapik bumbung Alcantara.

Selain daripada itu, Macan Turbo juga dilengkapi dengan pembantu kesesakan trafik dengan cruise control adaptif, di mana ia boleh bergerak ke hadapan dan membrek secara sendiri sehingga mencecah kelajuan 60 km/j, sekaligus mengurangkan keletihan pemandu.