Khabar angin yang tersebar sebelum ini nampaknya betul apabila Ferrari mendedahkan versi bumbung boleh buka bagi 812 Superfast, yang dikenali sebagai 812 GTS. Secara mekanikalnya, dua model ini menggunakan enjin sama iaitu unit V12 NA 6.5 liter, bersama padanan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan F1 DCT, mampu menghasilkan kuasa 800 PS (789 hp) pada 8,500 rpm dan 718 Nm tork pada 7,000 rpm.

Hasilnya, 812 GTS boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat, manakala 0-200 km/j dapat dicapai dalam masa 8.3 saat – 0.4 saat lebih perlahan berbanding 812 Superfast kerana mempunyai mekanisme bumbung boleh lipat seberat 75 kg. Laju maksimum 812 GTS dan 812 Superfast adalah sama, iaitu 340 km/j.

Perubahan bentuk badan paling utama sudah tentu adalah di belakang, di mana tiada lagi cermin yang besar kerana perlu memuatkan mekanisme lipatan bumbung, dan dua bonjolan yang selari dengan tempat duduk bertindak sebagai pelindung sekiranya kereta terbalik. Ruang barang menjadi sedikit kecil.

Bumbung 812 GTS ini boleh dibuka dan ditutup dalam masa 14 saat, dan ia boleh dilakukan pada kelajuan hingga 45 km/j. Pemilik juga boleh menaikkan cermin kecil di antara dua penyandar tempat duduk sekiranya tidak mahu terlalu banyak gangguan angin waktu bumbung dibuka.

Menurut Ferrari, 812 GTS ini menandakan satu pengakhiran bagi mereka yang menunggu sebuah model V12 bumbung boleh buka, yang bukan keluaran edisi terhad. Model sebegitu cuma dikeluarkan kali terakhir pada tahun 1969 iaitu melalui model 365 GTS4 (atau Daytona Spider).