Untuk penganjuran Tokyo Motor Show (TMS) 2019, Mitsubishi mengesahkan bakal mempamerkan konsep SUV plug-in hybrid (PHEV) bersaiz kecil, yang dikatakan sebagai “gabungan elektrifikasi dan kepakaran serta teknologi kawalan pacuan empat-roda”.

Walau bagaimana pun, tiada perincian lanjut mengenainya, Mitsubishi hanya memaklumkan kereta konsep tersebut menggunakan penjana kuasa PHEV yang lebih kecil, namun ditampilkan bersama sistem 4WD elektrik yang membolehkan ia menyalurkan “pemanduan yang tiada tandingannya”.

Bersama pengumuman tersebut, imej teaser yang mempamerkan rekaan suku bahagian belakang model konsep tersebut, yang mendedahkan bentuk berkotaknya dengan penggayaan bumbung terpisah. Kelihatan juga kemasan gentian karbon pada setiap “bonggol”, bersama empat elemen berbentuk bundar yang mungkin disambungkan dengan sistem penyejukan kereta.

Kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai model konsep yang masih dirahsiakan namanya apabila ia dipamerkan di Tokyo pada hujung Oktober ini.