Bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 September 2019, Kementerian Kewangan telah mengumumkan terdapat kenaikan harga untuk petrol RON97 iaitu sebanyak 14 sen seliter, menjadi RM2.67 seliter, berbanding minggu sebelumnya berharga RM2.53 seliter. Harga baharu tersebut efektif mulai jam 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.
Kenaikan harga minyak dunia dipercayai ekoran kejadian serangan terhadap dua loji minyak di Arab Saudi pada 14 September lalu yang telah menjejaskan pengeluaran dan pengeksporatan minyak negara tersebut. Walau bagaimana pun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan terus memberikan subsidi bagi mengimbangkan kenaikan harga minyak berikutan kejadian tersebut.
Manakala petrol RON 95 pula akan terus dijual pada harga tetap bersubsidi RM2.08 seliter yang telah ditentukan oleh kerajaan, tanpa bergantung kepada harga apungan dalam pasaran.
Begitu juga dengan diesel Euro 2M, di mana ia terus dijual pada harga RM2.18 seliter di stesen minyak, manakala diesel Euro 5 yang sentiasa berada 10 sen lebih tinggi dijual pada harga RM2.28 seliter.
Dengan pengekalan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 21 hingga 27 September 2019 adalah berjumlah RM123.16 juta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.