Akibat kesukaran mendapatkan janji temu untuk memasang tag permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP)-Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) pada kenderaan, penguatkuasaan VEP di semua laluan keluar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor semasa waktu aliran trafik puncak ditangguhkan sementara sehingga notis baharu dikeluarkan.
Kementerian Pengangkutan berkata, pihaknya akan membuka satu lagi Pusat Fitmen (FC) bagi pemasangan tag VEP-RFID di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KSAB (aliran trafik keluar ke Singapura) sebagai tambahan kepada empat FC sedia ada. Di mana pemilik kenderaan asing boleh mendapatkan tag VEP-RFID mereka dipasang di FC ini setelah semua persiapan pembukaan selesai. Tarikh operasi FC tambahan ini akan diumumkan tidak lama lagi.
Dalam masa yang sama, kementerian terbabit turut meminta pemilik kenderaan asing mengambil kesempatan dengan pembukaan FC tambahan dan penangguhan itu untuk segera mendaftar dan mendapatkan tag VEP-RFID bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk masuk dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.
“Pemilik kenderaan asing boleh menyelesaikan proses pendaftaran melalui portal https://vep.jpj.gov.my dan memasang tag VEP-RFID di empat FC sedia ada iaitu di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah selatan Gelang Patah, tempat meletak kenderaan terbuka Plaza Angsana, RnR Pandan dan plaza tol Lima Kedai. Kementerian juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengemas kini sistem dan memastikan kelancaran proses pendaftaran semua pemilik kenderaan asing,”ujar kenyataan terbabit.
VEP adalah komponen penting dalam usaha kerajaan untuk menangani masalah pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang pengangkutan jalan raya dan isu pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk atau keluar kenderaan yang dicuri atau tidak sah pendaftaran merentasi sempadan negara.
Pendaftaran untuk VEP telah dibuka sejak April 2019 dan tempoh enam bulan yang diberikan kepada pemilik kenderaan asing untuk menyelesaikan proses pendaftaran berakhir pada Oktober ini. Kementerian Pengangkutan berkata Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan asing ke Malaysia hendaklah memohon VEP.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.