Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

Selepas beberapa siri teaser dikeluarkan dalam internet, kini akhirnya Honda mendedahkan model baru CRF100L Africa Twin 2020 yang akan pertama sekali memasuki pasaran Eropah pada tahun ini juga. Sama seperti sebelum ini, terdapat dua versi untuk model ini iaitu Africa Twin (standard) dan juga Africa Twin Adventure Sports.

Jika sebelum ini versi standard lebih kepada model asas untuk kegunaan atas jalan biasa dan Adventure Sports mempunyai kelengkapan yang lebih kepada offroad, model baru ini pula menjadikan versi standard lebih kepada tunggangan offroad manakala versi Adventure Sports lebih kepada untuk perjalanan jauh.

Melihat terlebih dahulu kepada versi standard Africa Twin, ia mempunyai badan yang lebih kompak, dengan perubahan paling jelas adalah bahagian lampu LED dengan DRL yang boleh laras sendiri mengikut cahaya sekeliling. Penghadang angin hadapan adalah pendek dan tidak boleh dilaras, pemegang lebih tinggi 22.5 mm dan tinggi tempat duduk masih lagi 850-870 mm.

Selain rupa, bahagian enjin Africa Twin 2020 juga ditingkatkan dari 998 cc kepada 1,084 cc. Enjin dua silinder selari SOHC ini sekarang mampu menghasilkan 100 hp pada 7,500 rpm (+6 hp) dan 105 Nm tork pada 6,250 rpm (+6 Nm). Bergantung pada transmisi, enjin ini lebih ringan hingga 2.5 kg.

Sama seperti sebelum ini, Africa Twin boleh didapati dengan transmisi DCT enam kelajuan atau manual enam kelajuan. Untuk transmisi DCT, terdapat empat mod iaitu MT (manual sepenuhnya), D (biasa), S (sport) dan G (untuk offroad). Satu penambahan baru untuk Africa Twin 2020 adalah transmisi DCT padanya disambungkan kepada IMU untuk menyesuaikan penukaran gear waktu mengambil selekoh.

IMU yang boleh mengenal pasti gerak geri motosikal ini adalah satu ciri baru pada Africa Twin 2020, dan ia juga disambungkan kepada sistem kawalan cengkaman, Cornering ABS, Wheelie Control dan Rear Lift Control. Mod tunggangan yang disediakan untuk motosikal ini ada empat iaitu Tour, Urban, Gravel dan Offroad, dan ia ditambah dengan dua lagi mod yang boleh diubah suai mengikut kegemaran penunggang.

Honda Africa Twin CRF1000L 2020 – kapasiti enjin ditingkat, skrin sesentuh TFT, suspensi elektronik

Satu lagi pembaharuan penting pada Africa Twin adalah panel meter yang menggunakan skrin sesentuh TFT 6.5 inci berwarna penuh. Selain memaparkan informasi berkenaan motosikal, penunggang juga boleh melakukan pelarasan dengan menyentuh skrin ini, selain ia boleh disambungkan dengan Apple CarPlay, Bluetooth dan navigasi. Cruise control didatangkan standard.

Kelengkapan lain Africa Twin adalah rim 21 inci serta fork Showa 45 mm boleh laras di hadapan (jarak gerak 230 mm), rim 18 inci dengan penyerap Showa boleh laras di belakang (jarak gerak 220 mm), berat keseluruhan 226 kg dan tangki bahan api 18.8 liter.

Selain mendapat pembaharuan seperti versi standard, versi Adventure Sports yang mempunyai peranan lebih kepada tunggangan jarak jauh ditambah dengan penghadang angin lebih tinggi dan boleh laras, tangki bahan api 24.8 liter, panel pelindung angin tambahan, pelindung enjin lebih lebar, tapak barangan aluminium serta rim dan tayar tanpa tiub.

Walaubagaimanapun, satu ciri yang lebih menarik adalah ia didatangkan dengan pilihan suspensi elektronik Showa EERA yang mempunyai empat mod asas iaitu Soft, Mid, Hard dan Offroad, dan kemudiannya ditambah dengan satu lagi mod User untuk pelarasan khas penunggang. Input daripada IMU turut digunakan untuk menyesuaikan suspensi ini dengan keadaan jalan. Sekiranya tidak mahu menambah wang untuk suspensi ini, pemilik akan menerima suspensi sama seperti versi standard.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required