Nissan nampaknya tidak mahu menunggu sehingga Tokyo Motor Show berlangsung hujung bulan ini untuk menunjukkan model konsep terbaru mereka yang dipanggil sebagai IMk Concept. Menurut Nissan, kenderaan pacuan elektrik sepenuhnya ini “menggabungkan rekaan elegan, teknologi canggih serta pecutan berkuasa EV pada badan kompak.”

Bentuk kotak pada kenderaan ini mengingatkan kepada van kei car yang popular di negara itu, dan ia mempunyai ukuran 3,434 mm panjang, 1,512 mm lebar dan 1,644 mm tinggi. Menjadikannya istimewa, kenderaan ini diterapkan dengan pelbagai konsep rekaan tradisional Jepun.

Antaranya adalah Akagane, yang merujuk kepada tembaga dan warnanya digunakan pada kebanyakan bahagian kenderaan ini. Jalur-jalur yang boleh dilihat pada rim, bumbung, lampu, bampar dan beberapa bahagian lain kenderaan ini pula adalan inspirasi daripada Mizuhiki, iaitu seni jalinan Jepun yang menggunakan benang khas yang diperbuat daripada kertas kanji.

Anda juga akan dapat melihat corak seperti kerja kayu digunakan pada pada gril dan lampu kenderaan ini, manakala pada panel pintu terdapat corak yang mendapat ilham daripada seni tanggam yang dipanggil di Jepun sebagai Kigumi.

Bahagian dalam kenderaan ini adalah ringkas, dengan tempat duduk seperti bangku (bersambung antara penumpang dan pemandu) dan kawalan fungsi kenderaan boleh dilakukan dengan menekan panel rata di bahagian tengah papan pemuka. Paparan informasi pula muncul di atas panel lutsinar di bahagian atas. Kenderaan ini juga menggunakan kamera sebagai pengganti cermin sisi dan ia dipaparkan pada skrin yang terletak di bahagian dalam.

Nissan tidak mendedahkan sebarang perincian tentang penggerak elektrik yang digunakan pada kenderaan konsep ini, tetapi mengesahkan ia dipasang dengan sistem ProPILOT terkini dan teknologi sambungan seperti Invisible-to-Visible (I2V) dan Nissan Energy Share (Vehicle-to-Home).