Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

Ingat lagi Ford Ranger Splash berwarna kuning yang hadir pada model generasi pertama dulu? Nampaknya Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah menghasilkan satu lagi versi edisi terhad Splash menerusi model generasi terkini, dan ianya betul-betul terhad kerana hanya 19 unit ditawarkan, dan anda hanya boleh membelinya secara ekslusif pada aplikasi Lazada bersempena promosi 11.11 Shopping Festival yang akan berlangsung, menjadikannya satu-satunya trak pikap yang dijual di situ.

Jika anda mahu melihat unit sebenar Ford Ranger Splash ini sebelum membelinya, ia kini sedang dipamerkan di bilik pameran Ford Petaling Jaya. Model ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran dengan harga RM138,888, dan disertakan dengan waranti pengeluar tiga tahun/100,000 km serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun/100,000 km.

Jika anda benar-benar mahukan Ranger Splash ini, anda boleh menggunakan fungsi Chup Dulu pada aplikasi Lazada berkenaan bermula 28 Oktober hingga 10 November, dengan membayar deposit RM139 (10% dari yuran tempahan yang bernilai RM1,389) yang tidak akan dikembalikan sekiranya pembelian dibatalkan oleh pembeli.

Ford Ranger Splash 2019 dilancarkan di M’sia – hanya 19-unit sempena 11.11 Shopping Festival Lazada

Sekiranya anda telah berjaya Chup Dulu Ranger tersebut, baki bayaran tempahan sebanyak RM1,250 perlu dijelaskan pada 11 November bagi memastikan pembelian Ranger berkenaan selepas itu. Tetapi setelah membayar penuh yuran tempahan ini, duit tersebut boleh dipulangkan sekiranya pembeli berubah fikiran, menurut SDAC.

Wakil dari Ford kemudiannya akan menghubungi anda jika pembelian ini mahu diteruskan, dan urusniaga tersebut boleh dibuat pada mana-mana bilik pameran yang dimahukan oleh pembeli. Bagi 11 pembeli pertama yang telah melengkapkan proses tempahan mereka menerusi Chup Dulu, mereka akan menerima kad hadiah Petronas bernilai RM500 ketika kereta berkenaan dihantar kelak.

Ford Ranger Splash 2019 diasaskan dari varian 2.0L XLT Plus Automatic, kemudian ditambah dengan pelbagai ciri khas yang tersendiri. Versi baharu ini menampilkan skema warna terbalik dari model asal dahulu, dengan warna badan Absolute Black bersama pelekat “Ranger Splash” dengan jalur-jalur kuning fluorescent pada kedua-dua sisi bed belakang.

Kemudian ia dilengkapkan dengan bar kanggaru, dan juga komponen-komponen dengan kemasan hitam matte terdiri dari gril hadapan, perumah cermin sisi, bampar belakang, sports bar, fender flare dan juga rim aloi. Pembaca tol bina dalam dan kamera pemantau juga disertakan pada model edisi terhad ini.

Kelengkapan-kelengkapan dari varian 2.0L XLT Plus Automatic terus dibekalkan pada model ini. Jadi ia hadir standard dengan lampu hadapan projektor HID, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, pendingin hawa dua zon, upholsteri fabrik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, stereng berkuasa elektrik (EPAS) dan juga penutup tailgate Easy Lift.

Sistem mekanikal juga tidak berubah di mana trak pikap ini masih dijana enjin diesel 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan kuasa 180 PS dan juga tork maksima 420 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan, bersama sistem 4WD yang boleh ditukar dari 2WD, 4WD high dan 4WD Low tanpa memberhentikan kenderaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required