Antara faktor yang menyumbang kepada situasi kesesakan jalan raya, terutama di kawasan pusat bandar seperti Kuala Lumpur, ialah kebergantungan sebahagian besar daripada kita terhadap kereta persendirian, yang hanya dinaiki oleh seorang individu sahaja (dan membazirkan 3-4 atau lebih lagi ruang penumpang, bergantung kepada jenis kenderaan).

Ini agaknya yang menjadi pendorong kepada kaji selidik yang dijalankan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang tiba kepada kesimpulan yang sama; kebanyakan warga Malaysia lebih gemar memandu sendirian berbanding berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times.

Di dalam sebuah kaji selidik yang dijalankan antara 23 hingga 25 Oktober lalu melibatkan 4,689 responden dari pinggir kota Kuala Lumpur termasuk Ampang, Seri Kembangan, Sungai Buloh dan Petaling Jaya mendapati lebih daripada 87% yang berada di Lembah Klang memandu sendiri ke tempat kerja. Ini angka tertinggi di dunia bagi kategori single commuter.

Baki 11.6% lagi pula didapati bergerak dengan seorang lagi penumpang, sementara 0.9% lagi bergerak dengan dua penumpang lain dalam satu kereta. Menurut pusat yang menjalankan kaji selidik berkenaan, menyumbang kepada perkara ini ialah harga petrol dan tol yang relatifnya berkemampuan untuk ditanggung oleh seorang individu menjadi faktor utama.

“Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, persamaan yang didapati menjadi faktor utama bagi pemandu yang kerap memandu seorang diri ialah kos minyak dan tol yang mampu ditampung seorang, Hal itu tidak menjadikan pengguna merasa ada keperluan untuk berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam lain,” jelas laporan berkenaan.

Bagi yang memilih untuk memandu sendiri pula, kaji selidik berkenaan mendapati antara sebab yang menjurus kepada hal itu ialah untuk mendapatkan keselesaan dan privacy dalam perjalanan. Mereka boleh menggunakan masa dalam perjalanan itu untuk berfikir, atau mendengar podcast/muzik pilihan sendiri tanpa perlu melayan karenah orang lain.

“Satu lagi perkara ialah kerana pengangkutan awam masih lagi sukar atau tidak cekap untuk diakses. Ada responden yang merungut mengatakan kos meletak kenderaan di stesen LRT atau MRT sama saja kadarnya dengan tempat letak kereta di pejabat,” ulas laporan yang sama.

Menurut Cent-GPS, negara-negara lain sebaliknya mula menunjukkan angka yang menurun bagi pemandu secara bersendiri, dengan lebih ramai memilih pengangkutan awam atau berkongsi kereta. Di Amerika Syarikat, tahun lalu mencatatkan 66% sahaja mereka yang memandu seorang, sementara 34% lagi berkongsi kenderaan.

Di Sepanyol, 55% ke tempat kerja dengan memandu sendiri tanpa penumpang, semeentara 44% lagi berkongsi kenderaan atau naik pengangkutan awam. “Belgium satu contoh terbaik, dengan jumlah pemandu bersendirian menurut pada kadar 5% setiap tahun, dengan angka mereka kini hanya sekitar 30% sahaja berbanding pengguna jalan yang lain,” jelas laporan itu lagi.

Cent-GPS juga mengingatkan membuat dasar agar mempertimbangkan sehabis mungkin pendekatan pemansuhan tol dan juga subsidi minyak. “Tol perlu dilihat sebagai satu fungsi di dalam negara membangun untuk mula mengawal selia dan mengurangkan jumlah kereta di atas jalan.”