Susulan dengan pelancaran Raize, Toyota turut memperkenalkan aksesori TRD sebagai penambah gaya yang lebih sporty bagi SUV baharu ini. Dengan dua warna utama iaitu hitam dan merah, kit badan TRD untuk Raize ini termasuklah sambungan bampar hadapan, skirt sisi, sambungan bampar belakang, kemasan gril hadapan, pelekat sisi dan pelekat tailgate.

Menurut Toyota, bampar hadapan disambung sebanyak 38 mm dan mengurangkan jarak kelegaan tanah lebih kurang 56 mm, sementara untuk bampar belakang pula ditambah sehingga 5 mm dan jarak kelegaan tanah serta hujungnya dikurangkan sekitar 89 mm. Sementara itu, skirt sisi untuk Raize kini disambung ke bawah sehingga 61 mm berbanding standard. Di samping itu, kemasan bampar hadapan berwarna hitam diperbuat daripada PPE resin.

Untuk pelekat sisinya pula ditampal berhampiran bawah hujung pintu, dan satu lagi turut diaplikasikan di bawah hujung tailgate, kedua-duanya diperbuat daripada polyvinyl chloride resin, sementara pelindung pemegang pintu yang menyerupai gentian karbon turut ditampilkan. Untuk bahagian dalamnya turut menerima aksesori TRD iaitu butang penghidup enjin, alas bagasi dan juga pelindung matahari dengan jenama TRD.


Toyota juga telah menunjukkan aksesori TRD yang dipasang pada beberapa warna luaran pada Raize termasuk Shining White Pearl, Bright Silver Metallic, Black Mica Metallic, Natural Beige Mica Metallic, Mustard Yellow Mica Metallic, Fire Quartz Red Metallic Turqoise Blue Mica Metallic dan Laser Blue Crystal Shine.

Untuk kemasan hitam yang kontras dengan bumbung diaplikasikan pada pilihan warna Shining White Pearl, Bright Silver Metallic dan Turquoise Blue Mica Metallic.

Secara standard, Toyota Raize dijanakan oleh enjin 1.0 liter turbocharged tiga-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama kotak gear D-CVT. Raize dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan binaan monocoque dengan larasan suspensi topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang.

GALERI: Toyota Raize