Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

Sebelum membuat kemunculan sepenuhnya bulan hadapan, Kia nampaknya ‘mengusik’ hati peminatnya dengan mendedahkan dahulu berberapa imej awalan sedan segmen-D Optima (atau K5 di Korea) generasi baharu. Seperti yang anda boleh lihat, model berkenaan tampil lebih tajam dan lebih garang dari versi generasi keempat sedia ada.

Model generasi baharu ini diberikan lampu hadapan lebih tirus bersama bentuk-V dihujungnya, dengan jalur lampu nyalaan siang berbentuk abjad yang sama pada bahagian dalam. Gril ‘hidung harimau’ masih lagi kekal, tetapi ia direka seakan tiga-dimensi di mana liangnya direka melengkung ke dalam.

Bonet hadapan pula menampilkan garis-garis yang sangat jelas mengikut bentuk gril hadapan. Kemudian, bampar sedan ini juga kelihatan agresif dengan liang kemasukan udara sisi direka seperti sedang ‘mengaut’ kesemua aliran udara di hadapannnya.

Beralih kesisi, dapat dilihat cermin sisi direka nipis dan seakan tergantung pada satu ‘tiang’ yang berada di bawah tingkap quater hadapan. Garis bumbung dihasilkan landai kebelakang memberikan bayangan badan sedan empat pintu ini seakan sebuah coupe sportback – bahagian ini diserlahkan lagi dengan kemasan krom dari kerangka tingkap pintu hadapan dan belakang dan terus bersambung ke tiang-D serta merentangi sepenuhnya bawah cermin belakang.

Kia Optima generasi baharu – imej awalan didedahkan

Rupa belakang sedan ini turut kelihatan garang seperti mukanya. Ia diberikan lampu tirus merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan. Bampar pula kelihatan ‘sibuk’ dengan sepasang liang udara sisi yang seakan melepaskan aliran udara yang ‘dikaut’ oleh bampar hadapan, kemudian diberikan kemasan seakan diffuser yang turut menempatkan dua kemasan tip ekzos krom berbentuk segi-empat sereng.

Tiada lagi gambar bahagian dalaman didedahkan. Tetapi menerusi imej lakaran yang disiarkan sebelum ini, Optima generasi kelima ini diberikan papan pemuka dengan paparan instrumen digital dan skrin utama yang lebar, roda stereng rekaan baharu, suis kawalan yang direka seperti kekunci piano serta penukar gear menggunakan kawalan jenis putar.

Kia juga belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan Optima berkenaan, dan dijangka akan mengumumkannya ketika kereta ini membuat kemunculan sulungnya di Korea nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required