Selepas lebih satu tahun berada di pasaran, Honda Dash 125 disegarkan semula dengan grafik serta pilihan warna baru yang terdiri daripada Clipper Yellow, Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Repsol Edition.

Sama seperti model yang dilancarkan Julai tahun lalu, Dash 125 ini didatangkan dalam tiga versi iaitu yang menggunakan brek cakera depan sahaja pada harga RM5,999, yang menggunakan brek cakera depan dan belakang berharga RM6,299 manakala Edisi Repsol pada harga RM6,499 (brek cakera depan dan belakang).

Satu lagi bahagian yang dinaik taraf adalah lampu, di mana semua versi Dash 125 sekarang menggunakan lampu depan jenis LED. Bahagian lain semuanya masih sama termasuklah enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 124.89 cc SOHC serta padanan kotak gear empat kelajuan.

Perincian lain Dash 125 adalah termasuk tangki bahan api 4.0 liter, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, penghidup enjin elektrik dan tendang, berat antara 103 hingga 105 kg dan kuasa sebanyak 9.85 hp pada 8,000 rpm dan 9.54 Nm tork pada 6,500 rpm.

Semua harga yang dinyatakan adalah tidak termasuk insurans, dan motosikal ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Ia juga sudah berada di wakil pengedar motosikal Boon Siew Honda.