Sebelum ini ia cuma satu khabar angin, tapi sekarang Kawasaki sendiri sudah mengesahkan sedang membangunkan sebuah motosikal elektrik dan satu video yang menunjukkan pembangunan awalnya disiarkan. Selain daripada itu, Kawasaki juga ada membawa sebuah rangka motosikal yang dipasang dengan motor elektrik ke pameran EICMA 2019.

Sudah tentu, sekarang ini masih terlalu awal untuk mereka mendedahkan perincian teknikal motosikal ini, dan di dalam video kita cuma boleh menyaksikan apa yang dibuat oleh Kawasaki dalam proses pembangunan seperti ujian dalam litar.

Mereka juga memberitahu pelbagai benda yang sedang dikaji, termasuk pakej keseluruhan, geometri casis, transmisi serta penggunaan satu lagi tuil tambahan di bahagian kiri yang boleh ditekan menggunakan ibu jari, untuk sistem penjanaan semula kuasa brek.

Motosikal yang digunakan dalam ujian ini mempunyai bentuk sebuah model Ninja, tapi kita tahu bentuk ini sememangnya masih jauh berbanding model produksi. Walau apa pun, Kawasaki mahu menjadikan motosikal elektrik ini seronok ditunggang dan mereka telah melengkapkannya dengan gear – bukan seperti kebanyakan motosikal elektrik yang menggunakan transmisi automatik.

Jurutera Kawasaki yang berada dalam video ini turut memberitahu bahawa motosikal elektrik ini menggunakan unit kuasa generasi seterusnya, bersama teknologi supercharger yang telah mereka bangunkan sejak tahun 2000. Maksud sebenar ayat ini masih tidak diketahui, tapi agak menarik untuk melihat produk akhirnya nanti.