Bagi ibubapa yang hendak membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), pastikan ia mempunyai label kod QR kerana ia mengandungi maklumat terperinci mengenai garis panduan keselamatannya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Nasri Ishak, ketika ini pengeluar CRS sudah dimaklumkan mengenai label kod QR daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan hanya kerusi yang mempunyai label itu saja dibenarkan dijual di negara ini.

Tambahnya lagi, maklumat yang terdapat dalam garis panduan CRS itu termasuk kelulusan pensijilan, kaedah pemasangan dalam kenderaan dan kesesuaian pemakaian mengikut kategori berat serta tinggi.

“CRS yang mempunyai label kod QR menunjukkan ia mengikut piawaian United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Regulation (Peraturan) 44 dan 129. Oleh itu, ibu bapa perlu pastikan label itu ada pada CRS sebelum beli. Bagi pembelian dalam talian juga perlu pastikan label ini ada jika tidak mereka boleh pulangkan semula kepada penjual.

“Pembelian CRS tanpa label ini jelas menunjukkan ia tidak mengikut piawaian dan boleh memberi risiko nyawa anak jika menggunakannya,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Nasri turut berkata, CRS sudah lama dijual dan digunakan di negara ini tetapi setakat ini tiada pemantauan sama ada terdapat kerusi yang tidak berkualiti digunakan.

Mulai 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan nyawa bayi dan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan. MIROS turut menetapkan tiga kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kerusi itu iaitu jenis kereta, kerusi dan saiz kanak-kanak.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai garis panduan CRS, sila layari laman web JKJR.