Bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 November 2019 menyaksikan harga runcit petrol RON97 turun sebanyak empat sen, menjadi RM2.66 seliter berbanding RM2.70 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu tersebut efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.
Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.
Kementerian Kewangan berkata berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.36 dan RM2.27 seliter. Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada kadar RM2.40 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel pada kadar RM2.25 seliter.
Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.
Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 23 hingga 29 November ini berjumlah RM111.56 juta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.