GLE 63 bukanlah SUV bersaiz besar yang paling berkuasa yang diperkenalkan oleh Mercedes-AMG di Los Angeles Auto Show yang sedang berlangsung. Ni hah ada satu lagi model SUV besar dari keluarga yang sama, GLS 63, walau bagaimana pun, semua bahagian mekanikalnya masih sama seperti GLE 63.

Namun SUV tujuh-tempat duduk ini dipadankan dengan enjin AMG 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan hamburan kuasa yang menguja; 612 PS dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork 850 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm.

Ia juga digandingkan dengan sistem EQ Boost mild hybrid 48-voltan, yang digunakan untuk penjana penggunaan bersepadu dengan menambah lagi 22 PS dan 250 Nm untuk rangsangan lebih jitu di bawah kuasa pendikitannya. Ini bermakna, ia membolehkan GLS 63 mampu dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam hanya 4.2 saat.

Sistem mild hybrid ini mampu meningkatkan prestasi – ia juga mampu memulihkan tenaga kinetik, membolehkan SUV ini dipacu walau enjin dimatikan dan melancarkan fungsi start/stop automatik, dan juga membantu kawalan kelajuan melahu, bagi menjimatkan bahan api. Walau bagaimana pun, GLS 63 masih menggunakan bahan api pada kadar 11.9 liter setiap 100 km pada gabungan kitaran NEDC.

Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik AMG Speedshift TCT sembilan-kelajuan, serta sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ yang mengagihkan tork dari pemanduan belakang sepenuhnya ke belakang-hingga-hadapan dalam nisbah 50:50. Malah ia juga didatangkan dengan suspensi udara AMG Ride dengan Sistem Pemanduan Adaptif (ADS+).

Ketinggian pengendalian juga direndahkan sebanyak 10 mm pada kelajuan melebihi 120 km/j (dengan mod Sport dan Sport+) dan dipertingkatkan sehingga 55 mm dalam mod Trail dan Sand. SUV ini juga didatangkan dengan sistem penstabilan olengan AMG Active Ride Control 48-voltan, bersama stereng berkuasa sport AMG speed-sensitive dan sistem brek prestasi tinggi dengan cakera hadapan 400 mm, diapit dengan kaliper enam-omboh.

Ciri luaran yang ditampilkan termasuklah gril Panamericana trapezoidal AMG dengan kepingan menegak, bersama corong pengambilan udara yang diinspirasikan dari sayap jet. Hujung belakangnya pula menerima diffuser besar dengan dua corong ekzos segi empat serta roda aloi 12-inci secara standard dan pilihan sehingga diameter 23-inci.

Di dalamnya didatangkan dengan tempat duduk hadapan AMG upholstery balutan kulit Nappa bersama roda stereng AMG dengan pilihan kawalan untuk beberapa larasan preatasi. Seperti GLS standard, model AMG juga ditawarkan sama ada enam- atau tujuh-tempat duduk – dengan kerusi ‘captain’ untuk barisan tempat kedua – bersama tempat duduk dengan fungsi haba panas untuk barisan tempat duduk ketiga.