Tesla telah mendedahkan trak pikap semua-elektrik, dengan penggayaan yang boleh disifatkan sebagai serba futuristik. Sesuai dengan nama yang diberi, Cybertruck, ia ditampilkan dengan setiap komponen yang direka untuk melambangkan keunggulan dan ketahanan yang padu.

Ciri utama yang ditampilkan termasuklah struktur keluli tahan karat Ultra-Hard 30X Cold-Rolled pada bahagian badannya, serta lapisan kaca berperisai – Tesla mendakwa bahawa komposit lapisan kaca dan polimer ultra kuat yang digunakan mampu menyerap dan mengalihkan daya impak untuk meningkatkan prestasi toleransi kerosakan.

Walau bagaimana pun, agak memalukan apabila dalam majlis pelancarannya, sebiji bola logam telah dilemparkan pada pikap berkenaan dan menyebabkan bahagian kaca berperisai berkenaan retak, sekaligus membuktikan material yang digunakan ternyata bukanlah yang terbaik. Namun demikian, Elon Musk pantas mengatakan kelemahan tersebut akan diatasi.

Cybertruck ini didakwa mampu beroperasi sehingga jarak melebihi 800 km bagi pengecasan tunggal, dengan versi asas mampu mencapai jarak lebih 400 km.

Ia juga mampu mengangkut bebanan sehingga 1,590 km (atau 3,500 lbs) dan kapasiti menunda sehingga 6,350 kg (14,000 lbs). Dan pastinya Tesla mahu pikap ini memiliki prestasi yang menguja, lantas ia dipastikan mampu mencapai pecutan dari titik pegun hingga 96 km/j dalam hanya 2.9 saat, setaraf dengan supercar.

Elemen rekaannya ditampilkan dengan suspensi udara yang boleh dilaras sendiri, di mana sistem ini boleh merendahkan dan menaikkan kenderaan sekitar 100 mm (empat inci) di mana-mana arah untuk akses yang lebih mudah, dengan ruang dalaman berkapasiti 2,831 liter, storan berkunci yang dilindungi penutup tonneau yang didakwa oleh Tesla mampu menampung kekuatan lebih jitu jika ditegakkan.

Di dalamnya, ruang kabin disertakan dengan enam tempat duduk yang selesa, dengan ruang storan tambahan di bawah tempat duduk barisan kedua. Senarai kit lain termasuklah skrin sesentuh sentral 17-inci termaju dengan antara muka pengguna yang boleh dilaraskan, on-board berkuasa dan pemampatan udara, sesuai untuk mereka yang menyertai ekspedisi berkhemah dengan trak ini.

Cybertruck ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Single Motor Rear-Wheel Drive, Dual Motor All-Wheel Drive, dan Tri Motor All-Wheel Drive. Di US, harganya bermula dari US$39,900 (RM166,360) untuk Single Motor, sementara untuk Dual Motor bermula dari US$49,500 (RM206,400). Varian tertinggi Tri-Motor berharga US$69,900 (RM291,500), dan tambahan untuk pilihan pemanduan-sendiri dengan kos ekstra US$7,000 (RM29,200).

Tesla berkata, pelanggan pertama akan menerima Cybertruck ini pada akhir 2021, dengan produksi bagi versi Tri Motor AWD dijangka bermula akhir 2022.