Bukan semua keluarga yang sengaja tidak mahu menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bukan? Terutamanya keluarga besar yang hanya mampu untuk membeli sebuah kereta sedan terpakai. Oleh sebab ini, kerajaan menerusi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar mengumumkan bahawa kelonggaran akan diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai apabila peraturan itu dikuatkuasakan 1 Januari ini, menurut laporan Berita Harian.

Menurut Datuk Kamarudin, kerajaan sedar dan mengakui sukar bagi keluarga yang besar menggunakan CRS dalam kenderaan berikutan masalah ruang.

“Khusus untuk keluarga yang besar, saya boleh laporkan mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tidak membolehkan CRS dipasang.Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata lagi, penjualan CRS dalam negara akan dikecualikan duti import dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi memastikan pemasangannya tidak membebankan rakyat.

Peraturan mewajibkan penggunaan CRS ini telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Mac lalu. Baru-baru ini juga beliau turut mengumumkan bahawa walaupun ia akan diwajibkan bermula 1 Januari ini, tiada saman yang akan dikeluarkan dalam enam-bulan pertama perlaksanaannya nanti.