Bagi minggu bertarikh 30 November hingga 6 Disember 2019, harga runcit petrol RON 97 dikekalkan sama seperti minggu lalu dan dijual RM2.66 seliter. Manakala harga runcit petrol RON 95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

Kementerian Kewangan memaklumkan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.36 dan RM2.29 seliter. Tiada perubahan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95, manakala terdapat kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.27 seliter minggu lalu.

Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 23 hingga 29 November ini berjumlah RM115.70 juta.