Setelah teaser dikeluarkan sebelum ini, Triumph Motorcycles akhirnya mendedahkan model adventure generasi baru Tiger 900. Ia bakal memasuki pasaran pada tahun 2020 dalam lima versi iaitu Tiger 900. Tiger 900 GT, Tiger 900 GT Pro, Tiger 900 Rally dan Tiger 900 Rally Pro. Tiger 900 adalah versi asas, GT seperti menggantikan XR sebelum ini manakala Rally pula menggantikan XC.

Memandangkan ini adalah sebuah model yang dipanggil sebagai generasi baru, hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru termasuklah enjin yang sekarang menggunakan unit tiga silinder 888 cc DOHC (sebelum ini 800 cc) yang mampu menghasilkan kuasa 93.9 hp pada 8,750 rpm dan 87 Nm tork pada 7,250 rpm. Kuasa maksimum masih sama seperti sebelum ini, tetapi tork telah meningkat sebanyak 8 Nm. Kotak gear sama enam kelajuan masih digunakan.

Pembaharuan lain yang dikongsi untuk semua versi adalah kerangka serba ringan, semua lampu jenis LED, bentuk badan asas yang lebih kurus, tangki bahan api 20 liter, brek Brembo Stylema empat piston Monobloc di hadapan dengan cakera 320 mm, serta angkup Brembo satu piston dengan cakera 255 mm di belakang. Kesemua versi juga dilengkapi dengan ABS dan mendapat manfaat daripada ergonomik yang telah diubah (tempat duduk lebih lebar dan pemegang lebih dekat).

Untuk suspensi, versi asas Tiger 900, GT dan GT Pro menggunakan unit Marzocchi, dengan unit 45 mm USD di hadapan dan monoshock di belakang, tetapi GT dan GT Pro mendapat kelebihan dengan fungsi lantunan dan serapan yang boleh dilaras (suspensi belakang GT Pro boleh dilaras secara elektronik). Jarak geraknya adalah 180 mm di hadapan dan 170 mm di belakang.

Versi Rally dan Rally Pro yang lebih fokus kepada tunggangan atas jalan kasar pula menggunakan suspensi Showa, dengan di hadapan terdapat unit USD 45 mm yang boleh dilaras untuk pra beban, lantunan serta serapan manakala di belakang terdapat unit yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan. Larasan untuk suspensi ini perlu dilakukan secara manual dan jarak geraknya masing-masing adalah 240 mm untuk hadapan dan 230 mm untuk belakang.

Pergi pula kepada mod tunggangan, model asas Tiger 900 cuma datang dengan dua pilihan iaitu Rain dan Road, Rally dan GT ditambah dengan dua lagi mod iaitu Sport dan Offroad, GT Pro ditambah lagi dengan Rider manakala Rally Pro mempunyai pilihan mod paling banyak iaitu enam dengan kesemua ini, dan ditambah lagi dengan Offroad Pro.

Pada bahagian kokpit, semua versi kecuali Tiger 900 asas mendapat panel instrumen TFT 7.0 inci baru, tetapi cuma versi GT Pro dan Rally Pro sahaja yang boleh disambung dengan sistem My Triumph dan aplikasi yang membolehkan kawalan panaggilan, mesej, muzik serta navigasi pada telefon pintar.

Untuk sistem keselamatan dan elektronik, semua model dilengkapi dengan ABS, tetapi GT, GT Pro, Rally dan Rally Pro ditambah lagi dengan Cornering ABS dan Traction Control yang dioptimakan dengan penggunaan Inertial Measurement Unit (IMU), cruise control dan pemanas tangan. Pergi satu tahap lagi, GT Pro dan Rally Pro ditambah lagi dengan quickshifter naik dan turun gear, pemanas tempat duduk dengan kawalan berasingan dan pemerhati tekanan angin tayar.

Sudah tentu, sebagai sebuah motosikal adventure, pelbagai lagi barangan dan aksesori akan dimahukan oleh pengguna, dan Triumph ada menawarkan lebih 65 aksesori khas untuk Tiger 900 termasuk untuk keselesaan, perlindungan, kemampuan ataupun penampilan. Menjadikannya lebih mudah, ada di antaranya sudah dimasukkan terus dalam pakej Trekker dan Expedition yang boleh dipiih.

GALERI: Triumph Tiger 900 2020

GALERI: Triumph Tiger 900 GT 2020

GALERI: Triumph Tiger 900 GT Pro 2020

GALERI: Triumph Tiger 900 Rally 2020

GALERI: Triumph Tiger 900 Rally Pro 2020