Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247 – crossover dengan kuasa 306 PS/400 Nm dari enjin 2.0L turbo

Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247 – crossover dengan kuasa 306 PS/400 Nm dari enjin 2.0L  turbo

Serentak dengan pengenalan Mercedes-Benz GLA generasi baharu H247, jenama Jerman tersebut turut mendedahkan sekali versi berprestasi tinggi crossover berkenaan iaitu Mercedes-AMG GLA 35 4Matic. Ini menjadikan sehingga kini model-model yang telah menerima lencana ‘AMG 35’ iaitu AMG sebenar yang lebih rendah dari AMG 45 tersebut berjumlah tujuh model – A 35 hatchback, sedan dan sedan jarak roda panjang di China, CLA 35 dan shooting brake (wagon), GLB 35 dan GLA 35.

Seperti model 35 lain, GLA 35 ini menerima enjin M260 2.0 liter empat silinder petrol turbo yang menghasilkan kuasa 306 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda dengan sistem pacuan semua roda Mercedes 4Matic.

Ini membolehkan GLA 35 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Menerusi ujian piawaian NEDC, model ini mencapai penggunaan bahan api 7.5 hingga 7.4 liter setiap 100 km, manakala emisi CO2 pula adalah 171 hingga 170 g setiap km.

Model ini juga menerima kelengkapan AMG lain, termasuk mod pemanduan AMG Dynamics yang dihubungkan pada sistem ESP, dengan dua pilihan iaitu Basic dan Advances. Lima mod disediakan dalam AMG Dynamics ini iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ serta mod yang boleh anda olah sendiri iaitu Individual.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247 – crossover dengan kuasa 306 PS/400 Nm dari enjin 2.0L  turbo

Sistem ekzos AMG turut dilengkapkan pada model ini yang memberikan bunyi berbeza bergantung mod pemanduan yang anda pilih, bermula dengan discreet (Slippery, Comfort and Sport) hingga emotive (Sport+).

Kotak gear DCT pada AMG GLA 35 ini diberikan fungsi Race-Start. Jika anda mahukan corak pemanduan yang lebih liar tetapi masih mahu bantuan komputer untuk mengawal kestabilan kenderaan, anda boleh memilih mod Sport Handling pada sistem ESP.

Berbanding model GLA standard, kerangka badan AMG GLA 35 ini dihasilkan dengan lebih tegar menerusi pemadanan plat aluminium di bawah enjin, serta dua pendakap tambahan pada bahagian bawah sebelah hadapan.

Topang McPherson pada GLA AMG 35 ini turut ditala semula bagi mengurangkan olengan badan, membolehkan anda membelasahnya di selekoh dengan kelajuan lebih tinggi. Jika anda mahukan prestasi pengendalian lebih baik, Mercedes turut menawarkan opsyen sistem suspensi dengan penyerap hentak adaptif AMG Ride Control.

Sistem brek pada model ini juga adalah lebih baik dari versi standard, di mana ia dipadankan cakera berliang 350 mm dan angkup empat omboh di hadapan, bersama cakera 330 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247 – crossover dengan kuasa 306 PS/400 Nm dari enjin 2.0L  turbo

Sudah tentu, bahagian luaran dan dalaman AMG GLA 35 ini diberikan imej lebih garang berbanding model GLA 200. Ia menerima pakej penggayaan luar AMG Line bersama gril hadapan AMG. Di belakang, model ini dibezakan dengan bampar bersama diffuser lebih agresif, yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat, dan juga spoiler bumbung lebih besar.

AMG memberikan pelbagai pilihan rim untuk GLA 35 ini, bermula dari 19-inci sehingga 21-inci. Jika anda memilih Night Package, GLA 35 anda turut akan menerima lebih banyak kemasan hitam berkilat, cermin tingkap lebih gelap dan juga tip ekzos dengan salutan krom gelap.

Pada bahagian dalaman, ia menerima upholsteri kulit sintetik Artico dan juga serat mikro Dinamica dalam perlbagai rekaan serta warna. Sistem infotainmen MBUX pada GLA 45 ini pula menerima fungsi dan juga paparan tambahan (Supersport, Sport dan Classic) dari AMG.

Ia termasuk fungsi AMG Track Pace, iaitu sistem data logger yang anda boleh digunakan dalam litar, bersama sistem AI yang akan memberikan anda ‘racing line‘ paling ideal pada sesebuah litar yang telah disimpan dalam sistem.

Perincian AMG lain pada bahagian dalaman crossover ini termasuk kemasan-kemasan yang diperbuat dari gentian karbon, dan gelang merah pada liang penghawa dingin. Ia hadir standard roda stereng balutan kulit Nappa, tetapi anda boleh memilih roda stereng AMG Performance yang menampilkan kawalan akses lebih mudah untuk memilih mod pemanduan serta larasan-larasan lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required