Fasiliti Pengecasan BMW i terbaharu kini telah pun berada di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang, yang dikendalikan oleh Tian Siang Premium Auto selaku wakil pengedar jenama BMW di Ipoh dan Butterworth.

Menurut Tan Ka Kin, Pengarah Urusan Tian Siang Premium Auto, pembukaan fasiliti ini adalah sebagai usaha untuk memperkembangkan komitmen pihaknya ke atas mobiliti elektrik di Malaysia, sekaligus meluaskan rangkaian fasiliti pengecasan berkenaan yang kian berkembang di seluruh negara.

“Fasiliti pengecasan baharu di Gurney Paragon Mall merupakan lokasi pertama kami di Pulau Pinang serta kedua di negeri ini yang berkelengkapan penuh dan bersedia untuk terus memperkasakan mobiliti masa hadapan di Malaysia, ia melengkapi dua Fasiliti Pengecasan BMW i yang diperkenalkan di Iconic Hotel di Butterworth pada Oktober tahun lalu. Sementara kami terus menyebar luaskan aksesibiliti ke atas fasiliti-fasiliti pengecasan, saya yakin bahawa penggunaan mobiliti elektro di rantau barat laut Malaysia akan terus meningkat pada tahun 2020,” ujarnya lagi.

Dengan penambahan Fasiliti Pengecasan BMW i terbaharu di Gurney Paragon Mall ini telah menambah bilangan keseluruhan fasiliti dengan jumlah 20 cawangan di seluruh Malaysia oleh BMW Group Malaysia serta rakan-rakan pengedarnya. Ini termasuklah di Bangsar Shopping Centre di Kuala Lumpur, The Banjaran Hotsprings Retreat dan WEIL Hotel di Ipoh, Holiday Inn Melaka dan The Equatorial Melaka, serta CityONE Megamall Kuching.

Portfolio Mobiliti Bervisi milik BMW Group Malaysia dengan kenderaan BMW iPerformance juga didukung oleh platform ChargEV melalui usahasamanya dengan Malaysian Green Technology Corporation. Perkhidmatan BMW ChargeNow yang ditawarkan menerusi program BMW 360° ELECTRIC turut memberikan akses langsung ke atas fasiliti-fasiliti pengecasan rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, ia membolehkan pengguna menikmati bantuan dan akses 24/7 bagi kesemua lokasi pengecasan yang terletak dalam rangkaian ChargEV yang kian berkembang, lebih daripada 270 fasiliti pengecasan kini ditawarkan di seluruh negara.