Mulai 24 Disember 2019 hingga 2 Januari 2020, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliannya membantu melancarkan lagi pergerakan trafik pada cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020. Penutupan lorong tambah nilai ini dilaksanakan pada setiap musim perayaan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.
Justeru, PLUS menasihatkan agar pengguna lebuhrayanya merancang perjalanan mereka dan paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal selain memastikan kad terbabit mempunyai baki yang mencukupi.
PLUS menjangkakan perjalanan di plaza tol bakal terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan yang lain.
PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol. Namun begitu, terdapat kira-kira 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak, kedai serbaneka, pasaraya dan lain-lain lagi.
Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18% kepada 2 juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
Pada masa yang sama, PLUS juga memaklumkan bahawa pengguna lebuhraya seliaannya masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect buat masa ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.