Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

Berlumba di jalanraya tidak menjadikan anda jaguh. Tetapi itulah juga yang kerap dapat dilihat, sebahagiannya oleh pemilik kereta sport dan supercar, yang ada waktunya menjadikan lebuhraya atau jalanraya awam sebagai litar mereka – memandu laju semberono dan membahayakan pengguna lain.

Dalam kes terbaru, melalui sebuah video yang dikongsi di Facebook oleh Azman Nor, sebuah Renault Megane RS dilihat melanggar sebuah Proton Wira yang kemudian menyebabkannya berpusing dalam satu perlanggaran. Sikap dan insiden seperti inilah yang selalu menebalkan lagi tanggapan negatif umum terhadap kelompok peminat kereta dan motosikal yang kerap menghuni jalanraya seperti ini – yang kemudiannya akan menyusahkan orang lain sekaligus.

Perlanggaran itu berlaku di sekitar jalan Ulu Yam Baru, sebuah lokasi atau jalan yang kerap menjadi tumpuan mat kereta (dan juga mat moto) untuk melepaskan geram dan ghairah memandu (menuju Batang Kali dan Genting Highlands). Memang laluan mendaki dengan selekoh yang ada di sepanjang kawasan itu selalu menjadi tarikan, tetapi permukaan dan persekitaran di situ juga sangat merbahaya.

Jalannya biasa, hanya dua lorong dengan arah bertentangan, banyak selekoh dan titik buta, dengan permukaan jalan berlubang yang boleh membahayakan pemandu. Jika di sebelah malam pula, suasananya begitu gelap dan sunyi. Walaupun begitu keadaanya, masih ramai lagi hero-hero di belakang stereng yang kerap memandu secara tidak bertanggungjawab, melulu, laju dan sembarangan tanpa memikirkan pengguna jalanraya yang lain. Jika berlaku sesuatu yang tidak kena, dalam sekelip mata sahaja akibat yang akan menimpa adalah malapetaka.

Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

Tidak kira kenderaan apa yang anda pandu, dan secanggih manapun teknologi dan tayar yang ada pada kereta-kereta mahal anda, semua itu tidak akan dapat menyelamatkan suatu tindakan bodoh yang hanya mementingkan keseronokan sendiri – apa pagi kalau bukan berlumba di jalanraya. Sekali anda hilang kawalan dalam keadaan berkelajuan tinggi, hanya padah yang menanti.

Memandu atau menunggang secara merbahaya adalah hal yang memberikan nama buruk kepada penggemar kereta dan motosikal. Terlalu banyak perkara lain yang memualkan kita, mengapa perlu untuk menambah lagi masalah kita semua? Tak perlu untuk menunggu sehingga semua orang awam membenci dan menentang minat kelompok yang gila kereta dan motosikal. Dan, penyelesaiannya juga sudah tersedia, dan sangat mudah.

Jika ada di antara teman-teman anda yang merasakan diri handal berlumba, dan kerap memandu secara merbahaya di jalanraya awam, maka cabar atau ajaklah mereka untuk membuktikan ketangkasan dan kehebatan itu di dalam litar lumba yang sebenar. Siri perlumbaan yang ada, misalnya yang kami sendiri anjurkan seperti Malaysia Speed Festival (MSF) menawarkan pengalaman di litar dengan harga serendah RM300 untuk dua jam. Di situ, anda boleh memandu selaju mana yang anda mahu, asalakan tetap mematuhi beberapa peraturan.

Kalau betul handal, berlumba dalam litar, bukan tunjuk hebat di atas jalanraya dan menyusahkan orang lain

Jika anda minat dengan acara kepantasan atau time attack, banyak lagi acara yang boleh anda sertai, sebagai contoh Grass Racing Autosports (GRA) dan Sucimuci Motorsports. Acara ini turut mempertandingkan kategori bagi kereta biasa di jalanraya untuk turut berlumba dengan bayaran yang sangat berpatutan. Banyak lagi acara-acara yang akan berlangsung. Anda hanya perlu pilih yang mana satu dirasakan lebih sesuai, dan sertai.

Jika masih ingin berlumba di jalanraya terbuka, ikut serta di dalam acara yang dianjurkan dengan sah dan mengambil kira persiapan berkaitan keselamatan. Sebagai contoh, tahun ini MSF akan menganjurkan MSF Touge Series untuk laluan mendaki, selekoh tajam dan sebagainya. Masuk dan tunjukkan bakat anda jika betul handal. Dengan semua pilihan yang ada ini, tidak ada alasan lagi untuk sesiapa pun berlumba atau nak “tunjuk terer” di jalan raya.

Apa yang ingin kami sampaikan sebenarnya sangat mudah dan jelas; jangan berlumba atau memandu secara tidak bertanggungjawab di jalan raya. Patuhi semua peraturan atau undang-undang lalulintas yang ada, kerana bukan kita sahaja yang berada di atas jalan dan bergerak dalam satu-satu masa. Kami di paultan.org juga mematuhi peraturan yang sama, misalnya ketika melakukan pandu uji dan sebagainya. Asalkan itu jalan awam, maka janganlah kita hanya tahu pentingkan diri sendiri sahaja; nanti orang meluat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required