Menunggang motosikal cara merbahaya tidak akan untungkan sesiapa – kalau betul hebat, bawa ke litar

Jika common sense ada di jual di kedai runcit atau pasaraya, agaknya itulah benda yang paling laku sekali; untuk dibeli dan digunakan ketika manusia moden berada di atas jalanraya – dan sekaligus menjadikan jalanraya kita lebih selamat.

Anda mungkin sudah membaca artikel kami berkaitan satu insiden di Ulu Yam (atau telah menonton videonya di media sosial). Jika insiden itu melibatkan pemandu kereta, sekarang kami ingin membawa kepada perhatian anda pula sebuah lagi rakaman sehari sebelum itu, tetapi melibatkan sekumpulan penunggang motosikal pula – untuk menunjukkan bahawa, tidak kira apa jenis kenderaan yang anda bawa atau pandu, common sense ini memang mahal harganya dan cara anda memandu/menungganglah yang akan memberi kesan kepada orang lain ketika di atas jalanraya.

Di dalam video ini, nasib mungkin menyebelahi semua kerana tiada perlanggaran yang berlaku (“kemalangan” sepatutnya merujuk kepada situasi yang berada diluar jangkaan, bukannya disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri). Perhatikan cara kumpulan penunggang ini menghampiri selekoh; jika di litar, ia mungkin sesuatu yang cool dan menunjukkan bahawa anda tahu garis menunggang dan memasuki apex. Tetapi, jika itu dilakukan ketika di atas jalan dua hala dan “memakan” jalan orang lain, itu namanya sengaja mencari masalah.

Menunggang motosikal cara merbahaya tidak akan untungkan sesiapa – kalau betul hebat, bawa ke litar

Kerana, dalam keadaan laluan dua hala, anda tidak akan tahu seperti apa kenderaan yang datang dari arah bertentangan, apa lagi ketika berada di selekoh dengan sudut buta. Kalau dilihat dari sudut mada sekali pun, cara tunggangan kumpulan motosikal ini memang sangat merbahaya dan lebih penting, salah di sisi undang-undang.

Menunggan motosikal tidak menjadikan anda entitled untuk berbuat sesuka hati di jalanraya dan menganggap orang lain yang terpaksa memberikan laluan untuk anda. Situasi seperti di dalam video ini sangat biasa berlaku, misalnya ketika hujung minggu, di laluan Lebuhraya Karak atau naik ke Genting Highlands atau Bukit Tinggi.

Apa yang kami ingin sampaikan di sini sangat mudah dan jelas; jika ingin berlumba atau menunjuk kemampuan menunggang anda (yang pada kebanyakan waktu tidaklah seberapa itu), jalanraya bukan tempatnya. Anda mungkin merasakan diri hebat mengendalikan kenderaan, tetapi pengguna jalanraya yang lain tidak berkongsi pandangan yang sama. Tambahan pula, itu jalanraya atau lebuhraya awam, dan bukannya litar khusus.

Jangan berlumba di jalanraya terbuka. Untuk menunggang atau memandu laju, asalkan dalam keadaan selamat dan tidak menyusahkan orang, silakan. Tetapi perlu diingat, perbuatan itu masih salah disisi undang-undang; dan kalau kena saman, jangan nak merengek dan melantunkan ego ke merata hala. Kalau betul hebat, masuk litar.

Menunggang motosikal cara merbahaya tidak akan untungkan sesiapa – kalau betul hebat, bawa ke litar

Ada banyak acara yang dianjurkan kini yang membolehkan mana-mana penunggang untuk turut serta. Sebagai contoh, kita ada acara beberapa siri perlumbaan seperti Malaysia Speed Festival (MSF) atau Malaysian Superbikes (MSBK), dua perlumbaan yang diadakan di litar Sepang. Ada juga dalam skala yang lebih kecil, seperti BRAAAP Racing untuk jentera berkapasiti kecil. Memanglah ada bayaran dikenakan, itu pun tujuannya untuk memastikan keselamatan anda juga, bukan orang lain.

Motif atau kepentingan kami sebagai sebuah platform media automotif di Malaysia hanya satu, untuk membantu setakat yang termampu dalam menjadikan jalanraya kita lebih selamat. Apa pun yang anda ingin lakukan dijalanraya, tolong pastikan dulu bahawa perkara itu selamat untuk anda dan juga pengguna yang lain.

Selagi anda memandu atau menunggang dengan penuh tanggungjawab, jalanraya kita pasti akan menjadi lebih selamat. Ingin memandu laju? Terserah, tetapi janganlah sampai mengandaikan bahawa itu sesuatu yang tidak salah dari sudut undang-undang. Paling utama dan sangat pasti, tidak kira apa pun argumen anda, jalanraya bukanlah tempatnya untuk berlumba. Itu hanya untuk mempamerkan ego orang-orang yang hanya tahu pentingkan diri. Nak pilih yang mana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required