Ducati Panigale V4 diperkenalkan pada penghujung tahun 2017, dan waktu itu ia menandakan satu transformasi bagi motosikal sports Ducati yang sebelumnya lebih banyak menggunakan enjin v-twin. Sekarang untuk tahun 2020, Panigale V4 diberikan peningkatan untuk menjadikannya lebih “mudah untuk ditunggang, kurang memenatkan dan lebih intuitif.”
Paling utama adalah pakej aerodinamik bagi Panigale V4 R di mana ia termasuk aerofoil, skrin plexiglass, fairing hadapan, fairing tepi yang lebih besar, serta sirip udara tepi yang lebih cekap untuk radiator dan memberikan stabiliti pada kelajuan tinggi.
Kerangka motosikal ini turut dijadikan sedikit lebih tegar untuk memberikan rasa yang lebih baik pada bahagian hadapan waktu berada dalam sudut condong yang rendah dan kelajuan tinggi. Penunggang juga akan dapat memacu keluar dari selekoh dengan lebih yakin melalui sistem kawalan cengkaman ‘predictive‘. Quickshifter pula ditala semula supaya dapat memberi waktu penukaran gear atas 10,000 rpm yang lebih cepat dan lebih stabil apabila ditukar waktu memecut agresif dan mengambil selekoh.
Bahagian enjin masih sama iaitu menggunakan unit empat silinder V Stradale 90 darjah 1,103 cc yang mampu menghasilkan kuasa 214 hp pada 13,000 rpm dan 126 Nm tork pada 10,000 rpm. Antara fungsi elektronik yang ada pada motosikal ini adalah termasuk tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street, ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).
Di Malaysia, hanya Panigale V4 S yang dijual dengan harga RM172,900, dan datang dengan suspensi elektronik. Bagi catatan jualan tahun 2019, Ducati berjaya menjual 53,000 buah motosikal di seluruh dunia, dengan pasaran utama masih adalah Itali manakala China yang menjual 3,200 unit berada sebagai pasaran kelima paling penting bagi Ducati.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.